KOTA BHARU: Polis Kelantan menemukan pelbagai jenis buku berkaitan Aurad Muhammadiah dan Al Arqam dalam serbuan di sebuah rumah amal dan sekolah milik GISB Holdings di Gong Kulim pada Selasa.


Ringkasan AI
  • Polis Kelantan telah menjalankan serbuan di sebuah rumah amal dan sekolah milik GISB Holdings di Gong Kulim, di mana mereka menemukan pelbagai buku berkaitan Aurad Muhammadiah dan Al Arqam yang disembunyikan dalam stor.
  • Dalam operasi yang berlangsung selama dua jam, polis mendapati 10 kandang kuda kosong dan lebih 500 ekor ayam ditinggalkan di reban berdekatan.
  • Serbuan ini merupakan sambungan daripada operasi sebelumnya di Kampung Panji, di mana puluhan buku juga ditemukan ditanam dan lebih 30 individu, termasuk isteri kedua CEO GISB, telah diperiksa dan dibawa ke pusat saringan.


Melalui operasi selama dua jam bermula 9 pagi itu, polis menemukan kesemua bahan bacaan itu yang disembunyikan dalam stor rumah amal berkenaan.

Pemeriksaan polis di lokasi turut mendapati 10 kandang kuda di lokasi berkenaan sudah dikosongkan, namun lebih 500 ekor ayam ditinggalkan di dalam reban berdekatan kandang.

Sebelum itu, pasukan operasi yang turut disertai Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JAHEAIK) dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) itu terpaksa memecahkan pintu rumah dan sekolah kerana premis berkunci dan tiada penghuni.

Premis dan rumah amal terbabit dipercayai didiami lebih 60 penghuni tetapi sudah dikosongkan selepas polis menyerbu kediaman mereka di Panji Sabtu lalu.

Media sebelum ini melaporkan, polis melakukan serbuan di kediaman pemimpin dan pengikut GISB di Kampung Panji, Sabtu lalu.

Melalui operasi itu, puluhan buku ditanam di tepi sungai Pengkalan Datu dan lebih 30 individu termasuk isteri kedua Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GISB diperiksa dan dibawa ke pusat saringan. - Sinar Harian