PUTRAJAYA: Harga ayam ketika ini masih di bawah harga kawalan maksimum yang ditetapkan iaitu RM9.40 sekilogram dengan harga purata nasional RM9.18 sekilogram, berdasarkan cerapan harga harian Sabtu lepas.

Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Azman Mohd Yusof dalam kenyataan hari ini berkata harga purata bagi Semenanjung Malaysia pula adalah RM9.13 sekilogram.

"Ini bermakna, harga ayam runcit sebenarnya masih di bawah harga kawalan maksimum RM9.40 sekilogram," katanya mengulas laporan media mengenai peningkatan harga runcit ayam.

Menerusi Penentuan Harga Maksimum Ayam dan Telur Ayam, harga maksimum runcit ayam untuk Semenanjung Malaysia bagi ayam bulat standard ditetapkan pada RM9.40 sekilogram manakala ayam super pada RM10.40 sekilogram.

Harga maksimum runcit telur ayam bagi gred A ditetapkan pada 45 sen/biji; gred B (43 sen/biji) dan gred C (41 sen/biji) di Semenanjung Malaysia. Bagi Langkawi, Sabah, Sarawak dan Labuan, harga maksimum ayam dan telur adalah berbeza mengikut zon dan daerah.

Sementara itu, beliau berkata seperti komoditi lain, harga bagi ayam dan telur ayam akan turut terkesan dan mengalami perubahan, selaras dengan pergerakan kos input pengeluaran seperti jagung bijian dan dedak soya.

-- BERNAMA