SHAH ALAM: Sesi tinjauan secara mengejut yang dilakukan di beberapa Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) bukanlah untuk membuka aib, sebaliknya memastikan peruntukan duit rakyat dimanfaatkan secara berkesan.

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Asyraf Wajdi Dusuki turut mempertahankan tindakannya dan menyatakan berbuat demikian kerana ia adalah di bawah tanggungjawabnya.

“Ada kata saya buka aib apabila terjah MRSM. Kalau buka aib, patutnya saya (sebagai) pengerusi paling malu kerana MRSM bawah saya.

“Lebih baik malu sekarang daripada dipersoal ALLAH atas segala kepincangan,” katanya dalam perkongsian di Facebook pada Rabu.

Beliau turut menjawab pertanyaan daripada orang awam yang menyatakan ia bukanlah skop kerjanya, sebaliknya pengarah yang berkaitan bertanggungjawab melakukan tinjauan mengejut tersebut.

Menurut Asyraf Wajdi, walaupun tidak mempunyai kuasa eksekutif, tetapi beliau mempengerusikan majlis yang meluluskan segala peruntukan, dasar dan polisi Mara.

“Peruntukan ini adalah duit rakyat yang mesti dipastikan dimanfaatkan secara berkesan. Dasar dan polisi juga mesti dipantau agar tidak hanya dibuat daripada bilik berhawa dingin tetapi digarap daripada realiti yang berlaku di bawah,” jelasnya.

Beliau turut berkongsi, sempat mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa khas mengenai laporan agenda transformasi menyeluruh MRSM, sebelum berlepas ke Abu Dhabi.

Ujarnya, jawatankuasa itu digerakkan oleh pasukan khas yang dibentuknya dan diketuai oleh Ahli Majlis Mara, Tan Sri Muhammad Ibrahim yang juga bekas Gabenor Bank Negara.

“Banyak dapatan yang dikongsikan juga berasaskan isu-isu yang saya sendiri peroleh daripada siri-siri terjah MRSM dan lawatan mengejut ke MRSM seluruh negara.

“Apa yang penting (adalah) peranan MRSM untuk melahirkan generasi kepimpinan pewaris negara dalam pelbagai bidang dengan adunan kurikulum bersepadu yang menitikberatkan pembangunan insan seimbang duniawi dan ukhrawi mesti diperkasakan.

“Ini juga memerlukan persekitaran yang kondusif termasuk keadaan fasiliti maktab dan pemakanan pelajar mesti berada dalam keadaan terbaik,” katanya.

Tambah Asyraf Wajdi lagi, peruntukan tambahan akan disalurkan terutamanya bagi menaik taraf fasiliti maktab bagi memastikan agenda transformasi MRSM benar-benar berkesan dan berimpak tinggi. - Sinar Harian