Penyampai Berita dan Wartawan Penyiaran, Khairunnisa Kasnoon memenangi Anugerah Kewartawanan Kesihatan Televisyen Bahasa Melayu Terbaik, sementara Ayu Dewy Puspa Ismail serta Dzulfitri Yusof merangkul Anugerah Program Kesihatan Terbaik.
Khairunissa menerima hadiah wang tunai RM3,000 selepas laporannya bertajuk "Harapan Untuk Anak Autisme" dipilih sebagai juara kategori tersebut.
Kemenangan ini merupakan kali ketiga berturut-turut bagi Khairunissa.
"Alhamdulillah syukur dengan kemenangan ini. Tanpa bantuan editor dan rakan-rakan setugas di bilik berita, saya tidak akan berjaya sebenarnya.
"Laporan Harapan Anak-Anak Autisme adalah untuk melihat lebih mendalam bagaimana anak-anak autisme diberi pendidikan dan pendedahan untuk mereka berjaya pada masa hadapan nanti," tambahnya.
Pusat Permata Kurnia, harapan untuk anak Autisme
Anugerah berkenaan disampaikan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam pada Majlis Anugerah Media Kesihatan 2016, yang berlangsung di Eastin Hotel, pada Khamis malam.
Wartawan Tan Su Lin memenangi hadiah saguhati dalam kategori yang sama, dengan laporan 'Bahaya Zarah Jerebu Halus Kepada Kesihatan'.
Bahaya zarah jerebu halus kepada kesihatan
Sementara itu, gandingan Ayu Dewy Puspa Ismail serta Dzulfitri Yusof membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000 menerusi program Analisis AWANI, yang membincangkan 'Isu Virus Zika dan Pengawalan Denggi.'
Analisis AWANI: Memahami virus Zika & pengawalan denggi
Selain itu, saluran Astro Vinmeen Dan Vaanail turut memenangi hadiah saguhati kategori Anugerah Kewartawanaan Kesihatan Terbaik Televisyen Bahasa Tamil.