Ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan Asia ke-15 Kelab Perbincangan Valdai di Kuala Lumpur pada Isnin, beliau menekankan pendekatan unik ASEAN dalam kerjasama serantau dan diplomasi, serta menyatakan kekuatan organisasi itu terletak pada model penglibatan yang tersendiri.
"Kekuatan ASEAN terletak pada caranya mempersembahkan model penglibatan yang berbeza sama sekali - satu model yang jarang diperlihatkan dalam politik dunia, iaitu perkongsian keputusan bersama antara negara-negara dengan sistem tadbir urus yang pelbagai," katanya.
Mohamad berkata, walaupun mempunyai perbezaan, negara-negara ASEAN berjaya mencapai kesepakatan yang membolehkan mereka mengekalkan kedaulatan sambil memperkukuh hubungan ekonomi rentas sempadan.
Keengganan memihak dalam persaingan kuasa besar membolehkan ASEAN mengekalkan akses kepada pasaran global, menjamin rantaian bekalan, dan terlibat dalam kerjasama perdagangan serta pelaburan berprofil tinggi dengan kuasa Timur dan Barat.
"Inilah daya tahan geoekonomi yang terbaik, memanfaatkan kerjasama untuk menjana keselamatan ekonomi kolektif sambil membolehkan setiap negara kekal adaptif dalam menghadapi perubahan global," katanya.
Beliau berkata, "cara ASEAN" bukan hanya mengenai keseimbangan kuasa tetapi tentang membina struktur pengaruh yang inklusif, adaptif, dan mampan.
Menurut Mohamad, ASEAN merupakan satu daripada segelintir rantau di dunia yang mempunyai kerangka kerja multilateral yang benar-benar berfungsi, melepasi sekadar retorik semata-mata.
Kejayaan ASEAN menerima pelbagai model ekonomi dan politik - daripada pendekatan dipacu pasaran kepada yang lebih berpusatkan negara -- menunjukkan bagaimana negara-negara dengan sistem politik berbeza dapat bekerjasama dan maju bersama.
"Ini sangat berbeza dengan naratif binari seperti 'demokrasi lawan autokrasi' atau 'pasaran terbuka lawan perlindungan' yang mendominasi wacana global hari ini.
"Dalam dunia yang semakin berpecah-belah dari segi ekonomi, politik, dan budaya, ASEAN menawarkan model perpaduan dalam kepelbagaian yang bukan sahaja bersifat teori tetapi juga amat praktikal," katanya.
Mohamad menekankan potensi ASEAN bukan sekadar mengekalkan keberkecualian dalam menghadapi persaingan kuasa besar.
Sebaliknya, beliau mencadangkan ASEAN boleh menginspirasi suatu orde multipolar baharu yang mana pengaruh diukur bukan hanya berdasarkan kekuatan ketenteraan atau ekonomi tetapi juga keupayaan untuk memudahkan dialog, merundingkan kerjasama, dan membina kepercayaan yang diperlukan bagi keamanan dan kemakmuran global.
Beliau turut melahirkan harapan untuk mengekalkan kestabilan serantau dan mempromosikan pandangan terbuka serta inklusif dalam hal ehwal antarabangsa melalui komunikasi berterusan dengan semua Rakan Dialog, termasuk Rusia.
Mohamad juga menekankan pentingnya kolaborasi baharu antara ASEAN dan semua pihak berkaitan, terutamanya dalam menghadapi trend pengasingan yang membimbangkan di Barat.
"Melalui usaha ini, kami berhasrat untuk mengekalkan kestabilan serantau dan menggalakkan semangat keterangkuman dalam hubungan antarabangsa," katanya.
Persidangan bertajuk ‘Malaysia, Russia, and ASEAN: Navigating Emerging Multipolarity’, berlangsung dari 9 hingga 10 Dis, menghimpunkan lebih 100 pakar dari Rusia, Malaysia, Vietnam, Kemboja, dan Pakistan.
Dianjurkan dengan kerjasama Yayasan Bait Al Amanah (Malaysia), Yayasan Keamanan Sasakawa (Jepun), dan Institut Analisis Strategik dan Penyelidikan Dasar (INSAP, Malaysia), persidangan ini menyediakan platform untuk perbincangan terbuka dan mendalam mengenai isu global serta serantau yang penting. - BERNAMA