KUALA LUMPUR: Van persiaran yang terlibat kemalangan maut di Kilometer (KM) 4.8 Jalan Genting Highlands mempunyai lesen di bawah kelas lesen bas persiaran.

Menurut Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), perkara itu disahkan menerusi semakan awal dan pihaknya memandang serius isu membabitkan keselamatan orang ramai susulan insiden kemalangan terbabit.

"APAD akan bekerjasama dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi mendapatkan Laporan Pemeriksaan dan Audit Keselamatan (JISA) dan juga turut memanjangkan kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya untuk tindakan penguatkuasaan yang berkaitan.

"APAD juga akan memohon kerjasama Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) untuk menjalankan siasatan secara terperinci dan menganalisis punca nahas jalan raya yang menyebabkan kematian ini," katanya dalam satu kenyataan, pada Khamis.

APAD memberi amaran tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pemegang berlesen yang tidak mematuhi ketetapan syarat-syarat lesen dan boleh dikenakan tindakan tegas ke atas syarikat berkenaan sama ada penggantungan atau pembatalan lesen di bawah peruntukan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 [Akta 715].

"Di bawah akta yang sama, mana-mana pengendali yang didapati melanggar mana-mana syarat lesen boleh dikenakan tindakan dan sekiranya disabitkan kesalahan didenda tidak kurang daripada RM1,000, tidak lebih dari RM500,000 atau dipenjarakan tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya," katanya.

Pada Rabu, tujuh penumpang van berkenaan maut manakala tujuh lagi cedera selepas van persiaran dinaiki mereka terbabit kemalangan di Kilometer 4.8 di laluan turun Genting Highlands - Kuala Lumpur.

Seramai 14 individu menaiki van berkenaan terdiri daripada 12 wanita dan dua lelaki untuk pulang ke Pulau Pinang

Van terbabit dipercayai terbabas dan melanggar tembok penghadang jalan mengakibatkan tujuh daripada penumpang maut akibat kejadian itu.