KUALA LUMPUR: Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) mengeluarkan surat tunjuk sebab (STS) kepada pengendali treler yang terlibat dalam kemalangan maut di Putrajaya, pada Rabu.

APAD dalam kenyataan pada Khamis memaklumkan tindakan itu dibuat bagi mendapatkan perincian mengenai kejadian kemalangan melibatkan 14 buah kenderaan yang meragut dua nyawa.

Menurut kenyataan itu, APAD sedang bekerjasama dengan agensi terlibat bagi mendapatkan laporan berkaitan sebelum sebarang tindakan lanjut terhadap syarikat pengendali dapat dilaksanakan.

"Sekiranya hasil siasatan dan laporan yang diterima mendapati berlaku sebarang perlanggaran syarat lesen perkhidmatan oleh pihak syarikat, APAD boleh mengambil tindakan sama ada penggantungan atau pembatalan lesen di bawah Seksyen 62, Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715).

"APAD tidak akan sesekali berkompromi terhadap mana-mana kesalahan pemanduan kenderaan pengangkutan awam darat secara berbahaya yang membabitkan kemalangan dan insiden yang berlaku ini amatlah dikesali," menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan berkenaan, semakan awal mendapati motorlori treler tersebut telah dilesenkan di bawah kelas lesen Pembawa C.

"Dalam hal ini, APAD memandang serius isu membabitkan keselamatan orang ramai susulan insiden tersebut," menurut kenyataan itu.

Semalam, dua penunggang motosikal maut manakala tujuh cedera dalam kemalangan melibatkan sebuah treler muatan batu pasir merempuh sejumlah kenderaan termasuk motosikal anggota polis trafik di KM5.7 Jalan Persiaran Utara menghala Puchong berdekatan susur keluar Jalan Persiaran Timur, Putrajaya.

-- BERNAMA