KOTA KINABALU:Di sebalik kemelut politik di Semenanjung, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengambil pendekatan untuk terus mempertahankan mandat rakyat negeri ini selepas pilihan raya lalu.

Tegas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, pihaknya  telah membuat satu persefahaman di antara semua komponen parti kerajaan untuk tidak terpengaruh dengan 'gerakan' politik di Semenanjung sekarang.

"Kita juga sudah membuat satu persefahaman  dan persetujuan dalam konteks politik negeri Sabah. Kita tidak boleh terpengaruh dengan 'gerakan' politik yang berlaku di lain tempat, terutama di Semenanjung.

"Ini kerana kita perlu (mempertahankan) mandat yang diberi rakyat, kita teruskan untuk bersama-sama mentadbir Sabah. Tidak timbul isu kita terpengaruh dengan perkara yang berlaku di luar Sabah," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) GRS di Kota Kinabalu, pada Sabtu.

 Pemimpin GRS menandatangani memorandum persefahaman di Kota Kinabalu, pada Sabtu.

Terdahulu, beliau dalam majlis berkenaan turut mengumumkan senarai jawatankuasa GRS yang melibatkan parti-parti komponen kerajaan pemerintah.

Dalam senarai jawatankuasa tersebut, Hajiji selaku Pengerusi manakala tiga lagi timbalan pengerusinya  adalah Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah; Datuk Seri Bung Moktar Radin, Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS); Datuk Seri Dr Maximus Johnity Ongkili dan Presiden STAR; Datuk Seri Dr  Jeffrey Kitingan.

Untuk rekod, selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 26 September lalu, GRS yang terdiri daripada komponen Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) berjaya membentuk kerajaan negeri baharu.

Para pemimpin GRS menandatangani memorandum persefahaman pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Hajiji berkata, gabungan berkenaan adalah melibatkan sembilan parti di Sabah.

"Pada hari ini kita telah mengadakan mesyuarat GRS terdiri daripada sembilan parti yang telah diberi mandat oleh rakyat dalam PRN yang lalu.

"Di dalam mesyuarat ini kita telah bersetuju untuk memperkuatkan dan memperkasakan gabungan parti ini, supaya kita lebih menumpukan perhatian kita kepada memberi perkhidmatan serta pentadbiran negeri Sabah," katanya.