BUKIT MERTAJAM: Bekas guru agama kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan Perdana Menteri Malaysia ke-10 itu mempunyai ciri-ciri sebagai pemimpin sejak usia kanak-kanak lagi.


Ringkasan AI
  • Bekas guru agama, Salmah Abu Bakar, menyifatkan Perdana Menteri Malaysia ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim, telah menunjukkan ciri-ciri kepimpinan sejak kecil ketika beliau mengajarnya di Madrasah Al-Ittihadiah Al-Wataniah Cherok Tok Kun pada usia 10 hingga 12 tahun.
  • Salmah menggambarkan Anwar sebagai seorang yang baik, menghormati orang lain, dan menunjukkan potensi besar sebagai pemimpin dari usia muda, serta memberi semangat kepadanya agar berpegang kepada sifat-sifat Allah dan tidak putus asa.
  • Anwar dan isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, melawat rumah Salmah pada pagi ini selepas menghadiri Program Korban Perdana Bersama Perdana Menteri di Masjid Jamek Cherok Tok Kun Bawah.


Salmah Abu Bakar, 84, berkata beliau mengajar pemimpin nombor satu negara itu di Madrasah Al-Ittihadiah Al-Wataniah Cherok Tok Kun semasa Anwar berumur 10 hingga 12 tahun.

"Anwar memang menunjukkan potensi yang besar sebagai pemimpin seawal usia 10 tahun.

"Melihat perwatakan dan cara beliau berinteraksi dengan rakan-rakan (pada masa itu), memang terlintas di hati saya bahawa beliau mempunyai potensi untuk menjadi seorang pemimpin apabila besar nanti.

"Beliau baik dan sentiasa menghormati orang lain. Saya mahu beri semangat kepadanya agar sentiasa berpegang kepada sifat-sifat Allah dan jangan putus asa," katanya kepada pemberita selepas Anwar menziarahinya di kediaman ustazah itu di Cherok Tok Kun di sini hari ini.

Anwar dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tiba di rumah Salmah pada 11.30 pagi dan meluangkan masa lebih kurang 20 minit, selepas menghadiri Program Korban Perdana Bersama Perdana Menteri di Masjid Jamek Cherok Tok Kun Bawah.

-- BERNAMA