Katanya usaha itu adalah tanggungjawab kecil yang dijalankan, hasil kesepakatan barisan Jemaah Menteri dan sokongan rakyat negara ini.
"Kemudian semalam kita bawa dua pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), bawa anak-anak yang cedera parah kerana kezaliman Zionis Israel, menembak bom, hancurkan rumah, bunuh rakyat, wanita diperkosa zalim, ramai lelaki yang dipenjara, kita bawa balik... itupun dicerca.
"Ada orang kata Anwar tak payah jadi Perdana Menteri Malaysia, pergi jadi Perdana Menteri Palestin sana. Manusia jenis apa ini? Mereka boleh mati terkorban, terseksa. Dulu pelarian Acheh pun ada kita simpan di sini untuk memberi perlindungan.
"Jadi saya hendak beritahu di sini, ini tanggungjawab kecil yang kita laksanakan. Kalau tanya saya, syukurlah kerana kita ada perasaan ihsan, timbang rasa dan tolong ringankan beban, apalah 41 orang (rakyat palestin yang dibawa pulang) berbanding dengan 40,000 rakyat palestin yang mati di sana," katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Perasmian penutup sempena Program MADANI Rakyat Zon Selatan 2024 di Dataran UTM, di sini, hari ini.
Semalam, dua pesawat Airbus A-400M milik TUDM yang membawa rakyat Palestin yang cedera, selamat tiba di Pangkalan Udara Subang kira-kira pukul 2 petang.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang menyambut ketibaan rakyat Palestin, memaklumkan semua rakyat mereka yang dibawa ke Malaysia seramai 127 orang, terdiri daripada 41 pesakit rakyat Palestin dan diiringi oleh 86 waris.