PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memuji komitmen kakitangan awam yang tetap menghadiri Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) 2022 pada pagi Ahad.

Menurutnya, meskipun diberikan notis singkat namun semua kementerian terlibat hadir dengan persiapan rapi termasuk dengan data, angka dan statistik mencukupi.

"Satu permulaan yang sangat membanggakan saya kerana semua kementerian, semua Ketua Pengarah, Ketua Setiausaha dan Gabenor Bank Negara Malaysia (Tan Sri Nor Shamsiah Yunus) hadir walaupun pagi ini pagi minggu (Ahad).

"Saya mestilah zahirkan kebanggaan saya dengan sikap penjawat awam yang sering kali tidak dihargai masyarakat tentang kesungguhan mereka membantu pentadbiran negara.

"Mereka datang dalam masa singkat denfan persiapan segala angka, data kerana saya berminat untuk mengambil tindakan terhadap perkara-perkara penting (yang berlaku dalam negara)," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat NACCOL pada Ahad yang turut dihadiri Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Agensi dan kementerian lain yang menyertai mesyuarat ialah Jabatan Perangkaan Malaysia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Kementerian Kewangan, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan dan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli.

Semalam, Astro AWANI melaporkan Anwar dijadual mengadakan mesyuarat bersama jabatan dan agensi kerajaan di Putrajaya pada Ahad dengan memfokus kepada isu kos sara hidup yang menekan rakyat.

Beliau memaklumkan perkara itu menerusi hantaran di laman Facebook dan Twitter rasmi beliau pada Sabtu.