VLADIVOSTOK (Rusia): Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia dan Rusia perlu mempertimbangkan untuk memperkenalkan penerbangan terus bagi meningkatkan jumlah pelancong antara kedua-dua negara.

Menyatakan bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang mesra dan tidak dipengaruhi oleh mana-mana kuasa, Anwar berkata pelancong Rusia perlu melawat Malaysia, sebuah negara yang kaya dengan budaya dan mesra selain makanannya yang enak, serta berdaya maju dari segi ekonomi.

"Kami adalah negara yang kaya dengan budaya, dengan masyarakat yang pelbagai, mempunyai hutan hujan tropika, pantai dan mengalami iklim khatulistiwa. Jika anda pergi ke sana, anda akan mendapati bahawa 'Malaysia is truly Asia'," kata beliau.

Beliau berkata demikian pada sesi soal jawab pada sesi pleno Forum Ekonomi Timur (EEF) ke-9 di sini hari ini.

Ia turut disertai Presiden Rusia Vladimir Putin dan Naib Presiden China Han Zheng.

Terdahulu, pada sidang media bersama wartawan Malaysia di hari terakhir lawatan rasmi ke Rusia hari ini, Anwar berkata Malaysia menerima lebih 100,000 ketibaan pelancong dari Rusia pada tahun lepas dan terdapat potensi untuk meningkatkan jumlah pelancong dari negara itu dengan lebih banyak sambungan penerbangan.

Pada masa ini, hanya penerbangan transit melalui China yang boleh didapati untuk menghubungkan kedua-dua negara.

-- BERNAMA