KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman menafikan menerima wang daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) seperti yang disebut semasa perbicaraan kes rasuah Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. 

Bagaimanapun, Presiden Parti Cinta Sabah itu, dalam satu kenyataan pada Ahad, memaklumkan beliau bersedia untuk tampil membantu siasatan.

"Sebagai Menteri Luar ketika itu, saya bertemu dengan ramai orang. Seingat saya, saya tidak pernah berjumpa dengan David Tan mahupun menerima sebarang wang daripadanya atau UKSB.

"Saya tidak tahu siapa mereka dan saya tidak mempunyai sebarang urusan dengan mereka dalam apa cara sekalipun," katanya.

Terdahulu, seorang pengurus tadbir UKSB, David Tan memaklumkan kepada mahkamah bahawa ada beberapa pemimpin negara dan ahli politik menerima wang daripada syarikat berkenaan.

Selain Anifah, nama lain yang disebut ialah bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin iaitu sebanyak RM1.3 juta pada 2018.

Ahli Parlimen Paloh itu bagaimanapun menafikan dakwaan berkenaan.

Turut dinamakan ialah bekas Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Shafie Apdal dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada masa sama mengumumkan akan membuka kertas siasatan terhadap individu-individu berkenaan.

Terima Dana UKSB | SPRM buka kertas siasatan terhadap penama terlibat