Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata Malaysia dan Singapura mempunyai tempoh masa 12 bulan untuk meneliti laporan Kajian Kejuruteraan Bersama (JES) berhubung pembinaan Sistem Transit Laju (RTS) antara Singapura dan Johor.

Kedua-dua pihak kemudian perlu memuktamadkan rangka kerja yang dipilih sebelum fasa kedua JES boleh dilaksanakan.

Anifah memaklumkan bahawa laporan akhir fasa pertama JES telah siap November tahun lalu, di mana ia melibatkan penilaian untuk mengenalpasti laluan dan pilihan stesen.

Pembinaan RTS dibangkitkan ketika rundingan perkara-perkara dipersetujui POA pada 2010.

Pembinaannya yang dijangka siap pada 2018 akan memberi manfaat perhubungan kepada rakyat kedua-dua negara.

Selain RTS, kedua-dua negara juga mewujudkan perkhidmatan teksi air dan feri antara Puteri Harbour di Iskandar Malaysia dan Tuas di Singapura.

Anifah juga tidak menafikan kemungkinan pembinaan laluan tambahan antara dua negara sekiranya wujud keperluan mendesak.