Pertengkaran sepasang suami isteri warga Thailand berakhir tragedi apabila seorang suami maut ditikam isterinya dalam kejadian di sebuah rumah tumpangan, di Gat Lebuh Chulia, Pulau Pinang malam tadi.
Dalam kejadian jam 9.18 malam Sabtu itu mangsa dikenali Suriya Kanchaiyaphum, 36 tahun ditemukan terbaring dalam keadaan berlumuran darah di hadapan sebuah kedai di jalan berkenaan dengan kesan tikaman di dada kiri.
Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Supritendan V. Saravanan memaklumkan siasatan awal mendapati mangsa yang bekerja sebagai pembantu kedai makan dipercayai bertengkar dengan isterinya bersabit masalah kewangan.
Saravanan berkata, wanita berusia 38 tahun itu mengaku telah menikam dada suaminya dengan sebilah pisau di dapur rumah tumpangan di tingkat 1 bangunan dua tingkat berkenaan.
Tambahnya, dengan tertangkapnya wanita itu, kes itu dianggap selesai dan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Polis turut merampas senjata yang digunakan semasa kejadian yang disembunyikan di dalam beg pinggang suspek.
Suspek kini ditahan reman dibawah kesalahan Akta Imigresen untuk tindakan selanjutnya.
Selain wanita itu, seramai 14 orang penghuni rumah tumpangan turut dibawa ke IPD Timur Laut untuk siasatan lanjut.