Dua remaja ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes kematian Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund Sdn Bhd, Nazrin Hassan, pada 14 Jun lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor mengesahkan kedua-dua individu berkenaan, yang merupakan anak tiri Nazrin, telah ditahan pada jam 4 petang Sabtu.

"Ya. Dua lelaki berumur 16 tahun dan 14 tahun telah ditahan di Taman Tun Dr Ismail jam 4 petang semalam.

"Permohonan reman akan dibuat pagi ini (Ahad) di Mahkamah Majistret Petaling Jaya," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Khamis lalu, media melaporkan dua remaja lelaki yang masih bersekolah itu ditahan bagi membantu siasatan kematian Nazrin selepas pemeriksaan forensik menemui dua lubang pada lehernya kesan daripada anak panah.

Menurut laporan itu lagi, kedua-duanya ditahan selepas soal siasat ke atas ibu mereka yang ditahan terlebih dahulu mendapati mereka mempunyai kemahiran dalam sukan memanah.

Bagaimanapun, sebelum ini, Mazlan menafikan laporan penahanan itu dan memaklumkan jumlah tangkapan masih kekal dua orang.

BACA: Polis nafi anak tiri CEO Cradle Fund ditahan

BACA: Kronologi kes kematian CEO Cradle Fund Nazrin Hassan

BACA: Isteri CEO Cradle Fund Nazrin Hassan direman tujuh hari

BACA: Isteri CEO Cradle Nazrin Hassan kritik siasatan kematian suami


Nazrin dilapor meninggal dunia dalam satu kebakaran di kediamannya selepas sebuah telefon bimbit yang diletak sama ada di atas katil atau di sisi katil dipercayai meletup semasa sedang dicas semalaman.

Pada 4 Sept lalu, polis menahan balu Nazrin dan bekas suaminya, kedua-duanya berusia 43 tahun, bagi membantu siasatan kes itu sebelum mereka direman tujuh hari.

Namun, tiga hari kemudian, polis membebaskan lelaki itu di Balai Polis Sea Park, Petaling Jaya.

Pada 3 Ogos, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Fadzil Ahmat dilaporkan berkata kes kematian Nazrin diklasifikasikan sebagai kes bunuh selepas siasatan bomba menemui kesan petrol di lokasi kebakaran.