KUANTAN: Siri Ambang Ramadan anjuran Astro, Assalamualaikum Kuantan, di Pahang, negeri terakhir dalam siri penjelajahannya ke Pantai Timur, berlangsung dengan meriah pada malam tadi.

Kali ini penampilannya berbeza, jika di Kelantan dan Terengganu, acaranya diadakan di perkarangan masjid dan hanya satu hari namun di Pahang, ianya dibuat dalam dua hari bermula di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 dengan pengisian dua takzirah, Ramadan Tadabbur dan Qasidah serta acara kemuncaknya, Astro Ramadan Showcase di Dataran Pantai Teluk Chempedak.

Menurut penyanyi dan penyampai radio Zayyan, Asmawi Ani (Mawi), yang telah turut serta pada acara sama di Terengganu dan Kelantan, pemilihan lokasi di pantai Teluk Chempedak adalah tepat.

"Sebelum ini saya sertai 'Assalamualaikum' di Terengganu dan Kelantan dan kini di Kuantan, yang lainnya di sini kita tidak buat di masjid, di tepi laut tetapi pengisiannya tetap sama.

"Ada tazkirah dan nyanyian lagu-lagu ketuhanan dan kawasan sini kawasan tumpuan dan saya lihat tempat tu dipilih dengan tepat," katanya


Salah satu pengisian yang unik, menurut Mawi, adalah pertandingan Marhaban yang kebiasaan diadakan di Johor.

Bagi PU Amin pula, walaupun kemuncak majlis diadakan di tepi pantai, namun mesej agama itu tetap sampai dan diterima penunjung.

"Sebab orang rasa program-program keagamaan ini diadakan di masjid, surau, kuliah, pentas-pentas agama tetapi kita boleh buat secara santai.

"Kita boleh tayangkan program-program agama kita melalui drama filem movie dan sebagainya di tapak-tapak seperti ini sebab dia memang ada pengunjungnya tersendiri.

"Selain daripada adakan program-program hiburan yang sebelum ini memang sudah ada, kita datangkan hiburan yang mendidik jiwa, mendidik hati kita, supaya dalam kita seronok-seronok di dunia ini, ingat juga kepada akhirat," kata PU Amin atau nama sebenarnya Mohamad Amirul Amin Maula Lokman Hakim.


Sementara itu, penyanyi dan juga pendakwah, ustaz Izmir Fareez berkata pengalaman di Pahang kali ini sangat menarik dan ini juga adalah satu cara dakwah mendekati masyarakat di luar masjid.

"Dapat datang ke Teluk Chempedak ini satu pengalaman yang sangat menarik untuk kita sebab selalunya kita buat dakwah ni di masjid, di surau, tetapi sebenarnya kita juga mahu mentarik orang awam malah orang bukan Islam juga turut dapat mengikuti pengisian ini," katanya

Juara Akademi Al-Quran musim ketiga, Mohd Fakhrul Radhi Khamarudin (Fakhrul UNIC), menyifatkan siri jelajah Ramadan ini sangat berjaya dan berkesan sebagai cara mendekatkan masyarakat dengan Astro.

"Saya rasa satu sambutan yang menggalakkan. Kalau sebelum ini di Kelantan, 3,000 pengunjung yang datang untuk rakaman tazkirah malam Jumaat.

"Saya sebagai pengacara tazkirah Malam Jumaat, apabila kita dapat turun ke lapangan macam ini, seronok dapat jumpa dengan orang. Alhamdulillah dapat bersama-sama dengan mereka," katanya.

Penyanyi kumpulan UNIC itu turut memberi pandangan agar pihak Astro menambahkan lagi pengisian yang dekat di hati peminat dalam program akan datang.

"Saya rasa satu penambah baik kalau boleh buat solat jemaah di dataran beramai-ramai, buat solat hajat, berdoa ramai-ramai.

"Benda itu dia akan jadi seronok, datang ramai-ramai bawa sejadah sendiri. Buat munajat sikt, buat doa sambil-sambil kita sebagai sambutan ambang Ramadan, program begitu akan mengeratkan lagi silaturahim," ujar Pengacara yang aktif berdakwah itu. 

Sepanjang Ramadan, bertemakan Masa Anugerah Terindah, pelbagai program Islamik dan ilmiah bakal menemui peminat di Astro Oasis dan antaranya seperti; Malam Ini: Ustaz Don, Geng Ngaji, Jom Khatam, Bidadari Syurga Musim 2 dan Langkah Nabi.

'Assalamualaikum Kuantan' menutup tirainya di dataran Teluk Chempedak pada Jumaat 11.30 malam setelah berada di Kuantan sejak Khamis.