Susu untuk ibu hamil
Aspek pemakanan yang melibatkan makan dan minum bagi seorang individu sedang hamil adalah penting.
Ini kerana ibu mengandung memerlukan nutrisi dan khasiat yang mencukupi untuk dirinya sendiri serta bayi di dalam kandungan.
Seorang ibu sedang hamil memerlukan jumlah kalsium yang tinggi. Ada kajian mengatakan ibu hamil memerlukan lebih 1,000 miligram kalsium setiap hari.
Kebiasaannya keperluan ini boleh dipenuhi dengan mengamalkan pengambilan susu untuk ibu mengandung.
Amalan meminum susu untuk ibu mengandung memberikan pelbagai manfaat kesihatan, ia dapat mengurangkan risiko penyakit diabetes jenis 2 bagi ibu.
Ia juga dapat mengurangkan risiko osteoporosis pada si manja apabila meningkat usia dan membantu meningkatkan IQ anak kerana kandungan iodine dalam susu berfungsi untuk tumbesaran otak bayi.
Ini antara jenis-jenis susu untuk ibu hamil yang pernah dikongsi dalam Hello Doktor.
Jenis-jenis susu untuk ibu hamil
1. Susu lembu
Merupakan antara susu kegemaran kebanyakan individu. Lebih menarik lagi, ia boleh didapati dalam pelbagai jenis perisa seperti coklat, strawberi mahupun kurma.
Kandungan nutrisi:
- Ia mengandungi asid amino yang baik untuk sel badan ibu dan bayi dalam kandungan
Mengandungi vitamin D yang dapat mengurangkan risiko diabetes bagi ibu hamil dan membantu aspek perkembangan bayi dalam kandungan - Vitamin E yang terkandung di dalam susu ini menawarkan fungsi antioksidan dan dapat mengurangkan risiko penyakit
- Mempunyai kandungan kalsium yang tinggi
- Vitamin A dalam susu ini membantu perkembangan tisu badan dan sistem imunisasi bayi
2. Susu soya
Susu jenis ini tidak mengandungi lemak dan tinggi dengan serat serta kalsium. Tahap kandungan protein bagi susu soya adalah sama seperti susu lembu.
Kandungan nutrisi:
- Tidak mengandungi kolesterol dan kandungan kalsium yang terkandung di dalam susu soya dapat membantu proses tumbesaran bayi
- Mempunyai kandungan lemak monounsaturated dan polyunsaturated yang mempunyai peranan penting dalam membantu mencegah penyakit kardiovaskular
- Kandungan antioksidan di dalam susu ini dapat mencegah kanser
3. Susu kambing
Ia boleh didapati dalam bentuk keluaran secara organik, UHT ataupun susu segar.
Kandungan nutrisi:
- Susu kambing ini dipercayai mengandungi protein tinggi, vitamin B2 dan rendah kandungan butterfat globules
- Susu ini dikatakan dapat mengurangkan masalah kolesterol dan meningkatkan metabolisma badan
- Kandungan vitamin B2 dalam susu ini dapat membantu meningkatkan antibodi dan sistem imunisasi badan
4. Susu badam
Seperti namanya, susu ini diperbuat daripada kacang badam (almond) dan air. Kebiasaannya, bagi individu yang tidak menggemari susu soya, susu badam merupakan pilihan yang terbaik.
Kandungan nutrisi
- Ia merupakan susu yang bebas kandungan lemak dan kolesterol
- Merupakan susu yang tinggi kandungan asid folik, serat, protein, vitamin B, kalsium, zat besi dan vitamin E
- Adalah sejenis susu yang mempunyai antioksidan bagi membantu sistem imunisasi badan dan kandungan kalori yang rendah
5. Susu oat
Antara pilihan susu baik untuk ibu mengandung kerana ia dikatakan dapat membantu mencegah masalah sembelit yang kebiasaannya menjadi antara isu yang sering dialami oleh wanita hamil.
Susu oat juga dipercayai dapat mengawal rasa lapar, membantu mengawal tahap kandungan gula dalam darah serta berkeupayaan untuk menyalurkan oksigen dengan secukupnya ke dalam sel-sel badan.
Kandungan nutrisi
- Mengandungi kandungan vitamin A dan B yang tinggi
- Susu ini juga dikatakan mempunyai mineral mangan, kalium dan fosforus
- Susu oat turut menawarkan khasiat protein yang diperlukan ibu mengandung
6. Susu beras
Jenis susu terakhir yang sesuai untuk ibu mengandung adalah susu beras.
Sudah tentu sumber utama penghasilan susu ini adalah beras yang dicampurkan dengan air. Namun, susu jenis ini dikatakan tidak sesuai dijadikan susu untuk ibu mengandung yang menghidapi penyakit diabetes.
Ini adalah kerana kandungan karbohidratnya adalah 4 kali ganda berbanding susu lembu.
Kandungan nutrisi
- Susu beras ini mengandungi vitamin B
- Ia merupakan sejenis susu yang rendah lemak, rendah protein tetapi mempunyai kandungan antioksidan yang tinggi
- Susu beras dipercayai dapat mencegah penyakit selenium dan manganese
Mungkin ada kalangan ibu yang sedang hamil bimbang untuk meminum susu kerana khuatir bayi di dalam kandungan akan bersaiz besar (macrosomia). Namun hakikatnya, pengambilan susu bukanlah faktor yang menjadi punca kepada kekhuatiran tersebut.
Ini kerana antara punca yang dikenal pasti berkait rapat dengan bayi macrosomia atau dirujuk sebagai bayi yang lahir dengan berat melebihi 4 kilogram adalah seperti kehamilan melebihi tarikh jangkaan bersalin, ibu hamil menghidap kencing manis ataupun kenaikan berat badan yang berlebihan ketika hamil.
Apa yang penting, ibu mengandung perlu sentiasa mengawal pengambilan makanan yang seimbang dan sihat serta bersenam.
Artikel asal disiarkan di Pa&Ma.
** Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, pemotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu !