KUALA LUMPUR: Selepas hampir tiga dekad kempen kitar semula dicanang di negara ini dalam usaha memastikan 40 peratus sisa buangan dapat digunakan semula pada 2025, ternyata sambutan masyarakat terhadap inisiatif itu masih rendah.
Statistik Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN) menunjukkan pada tahun lepas, negara hanya merekodkan kadar kitar semula pada 31.52 peratus sedangkan kebanyakan negara maju mencatatkan sekurang-kurangnya 60 peratus.
Lebih merugikan, angka itu turut bermakna Malaysia kehilangan kira-kira RM476 juta setahun dalam konteks pendapatan negara kerana sumber kitar semula adalah satu industri bernilai tinggi.
Menurut JPSPN, bahan kertas merupakan sisa terbuang paling banyak di tapak pelupusan, iaitu kira-kira 17 peratus yang boleh menyumbang sekitar RM205 juta kepada pendapatan negara.
Bahan kitar semula kedua terbesar yang "dibazirkan" di tapak pelupusan sampah adalah plastik, iaitu sekitar sembilan peratus dengan potensi pendapatan RM163 juta.
MEMBIMBANGKAN
Pakar melihat senario itu - kadar pembuangan sampah di tapak pelupusan dan kegagalan mengitar semula sisa buangan - sebagai sesuatu yang membimbangkan dan perlu diberi perhatian serius agar masalah berkenaan tidak memburukkan lagi isu pengurusan sisa pepejal di negara ini.
"Isu ini membimbangkan kerana populasi negara semakin meningkat dengan data terkini menunjukkan pertumbuhan populasi dianggar 2.4 peratus atau 600,000 orang setahun, bermakna lebih banyak sampah akan dihasilkan.
"Keadaan ini akan memburukkan lagi situasi sedia ada. Apatah lagi data terbaharu menganggarkan sebanyak 14 juta tan sampah setahun akan dikutip sepanjang 2022 atau hampir 40,000 tan sehari dengan anggaran 95 peratus daripada sisa pepejal yang dikutip dilupuskan di tapak pelupusan," kata Prof Madya Dr Haliza Abdul Rahman kepada Bernama.
Laporan media mengenai Data Penjanaan Kutipan Sampah jelas menunjukkan berlaku peningkatan ketara penghasilan sisa oleh penduduk negara ini dalam tempoh lima tahun lalu, iaitu pada 2018 sebanyak 36,843 tan sampah dihasilkan sehari, manakala pada 2019 meningkat kepada 37,462 tan yang bertambah kepada 38,081 tan pada 2020.
Sementara itu pada tahun lepas, sebanyak 38,699 tan sampah harian dikutip dan untuk tahun ini, dianggar 39,936 tan sampah dihasilkan setiap hari.
Menurut Haliza, tambah memburukkan keadaan ialah peningkatan besar sisa perubatan, iaitu pelitup muka dan kit ujian kendiri COVID-19 yang menjadi sampah "baharu" kerana tidak lagi dilupuskan sebagai sisa buangan klinikal, sebaliknya hanya sebagai sampah domestik.
Peningkatan sampah juga disumbangkan oleh beberapa kejadian bencana alam, misalnya pada penghujung Disember 2021 beberapa negeri dilanda musibah banjir yang mengakibatkan banyak kerosakan. Keseluruhan, sebanyak 82,850 tan sisa pepejal dikutip dari enam negeri yang terjejas itu.
Mengulas lanjut, pakar tadbir urus persekitaran di Universiti Putra Malaysia (UPM) itu berkata sampah yang dibuang secara semberono oleh segelintir masyarakat atau dilupuskan secara haram oleh pihak tertentu, boleh menyebabkan sistem perparitan tersumbat, sekali gus berpotensi mengakibatkan banjir.
"Ditambah pula keadaan cuaca buruk akibat perubahan iklim sekarang yang boleh menyebabkan banjir kilat berlaku dengan lebih kerap," ujar beliau.
SUKAR CAPAI SASARAN
Katanya melihat pada situasi semasa, beliau berpandangan sukar bagi negara mencapai sasaran 40 peratus kadar kitar semula dalam tempoh tiga tahun lagi.
Ini kerana kata beliau, berdasarkan trend masyarakat dalam membudayakan kitar semula dan disokong oleh kajian yang dilakukannya, tempoh tiga tahun yang berbaki itu tidak cukup untuk negara mencapai sasaran tersebut sekiranya tiada langkah progresif dan komitmen daripada semua pihak.
"Kalau kita lihat kembali trend kitar semula masyarakat negara ini, didapati perkembangannya agak perlahan. Contohnya, untuk mencapai 31.52 peratus kadar kitar semula negara pada tahun lepas sahaja mengambil masa 21 tahun selepas kempen dilancarkan kembali pada 2000.
"Peningkatan ini pun saya percaya disumbangkan oleh PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) kerana sepanjang tempoh itu ramai yang ada masa untuk mengitar semula. Berdasarkan kajian, saya dapati kesedaran masyarakat sudah ada, namun ramai yang tidak berminat mengamalkannya atas faktor tidak ada masa," jelas beliau.
ADA KESEDARAN, TIADA KOMITMEN
Bagi mengukur tahap kesedaran masyarakat khususnya belia dalam aspek penjagaan alam sekitar, kerajaan menjalankan kajian "Kesedaran Belia Dalam Penjagaan Alam sekitar" yang bermula pada April 2018 dan dijadualkan selesai pada akhir bulan ini, melibatkan 384 responden dalam kalangan belia berusia 15 hingga 30 tahun di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Dapatan awal kajian menunjukkan tahap kesedaran tentang kepentingan pengurangan sisa ke tapak dan impaknya terhadap penjagaan kelestarian alam adalah tinggi dengan 94.5 peratus responden faham mengenai isu itu.
Namun 40 peratus responden memberikan alasan kekangan masa dan kesibukan sebagai faktor utama mereka tidak mengitar semula sisa yang boleh dijana semula.
Hal ini bukan sahaja satu pembaziran komoditi yang berpotensi menyumbang kepada ekonomi negara tetapi juga meningkatkan kos pengurusan sampah.
Menurut Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), kerajaan membelanjakan RM1.9 bilion setahun bagi kos pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam sejak 2015.
Mengulas perkara itu, Haliza berkata seiring peningkatan sampah, kos pengurusan juga bertambah dan pada masa sama negara sudah tidak mempunyai tanah yang sesuai untuk dijadikan tapak pelupusan baharu, khususnya di kawasan bandar.
"Setiap tapak pelupusan sampah (yang ada) ini hanya boleh digunakan dalam tempoh 15 hingga 20 tahun sahaja, dan selepas itu tidak boleh digunakan lagi kerana keadaan kawasan yang tidak stabil itu menyimpan banyak bahan kimia, sekali gus menyebabkan perlu cari tanah baharu... bertambah lagi kos," katanya.
Buat masa ini terdapat 147 tapak pelupusan sisa pepejal yang masih beroperasi di negara ini termasuk 14 tapak sisa pepejal sanitari.
Jelas Haliza lagi, berikutan jumlah tapak pelupusan sanitari tidak sampai 20 tapak, negara perlu mengurangkan kebergantungan pada kaedah pelupusan sisa ke tapak yang pada masa ini mencecah 95 peratus.
AKTA 'SENDU'?
Haliza yang juga Ketua Laboratori Belia Dalam Kepimpinan, Politik dan Kewarganegaraan, Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS) UPM, berkata antara kesan terhadap alam sekitar sekiranya sisa pepejal tidak diuruskan dengan lebih baik ialah penghasilan lebih banyak gas rumah hijau.
Ini seterusnya menyumbang kepada pemanasan global dan perubahan iklim yang mendorong kepada cuaca ekstrem seperti hujan lebat dan kejadian ribut.
Tambahnya lagi, tapak pelupusan sampah turut membebaskan gas metana yang 20 kali ganda lebih berbahaya berbanding gas karbon dioksida, sekali gus memberi kesan kepada iklim dunia.
Pada masa sama, pencemaran air disebabkan peresapan 'leachate' (air larut resapan) ke dalam sumber air bawah tanah turut berlaku selain pelbagai masalah pencemaran seperti bau serta punca penularan penyakit seperti denggi.
"Air larut resap mengandungi bahan-bahan pencemar bertoksik serta pelbagai logam berat seperti kadmium dan seharusnya diuruskan secara sistematik kerana boleh mencemari sungai yang menjadi sumber bekalan air dan membebaskan bahan seperti ammonia," jelas beliau lagi.
Sehubungan itu kata Haliza, impak pengurusan sisa pepejal yang tidak lestari ini tidak boleh dipandang remeh, sama ada oleh kerajaan mahupun masyarakat, kerana kegagalan berbuat demikian sudah pasti mengundang malapetaka dan kesan buruk terhadap keselamatan serta kesihatan awam dan alam sekitar.
Mengulas lanjut, Haliza turut mempersoalkan keberkesanan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) yang dilihat beliau semakin "sendu" kebelakangan ini.
Akta itu yang dikuatkuasakan bermula 1 Sept 2015, mewajibkan pengasingan sisa di peringkat awal dengan setiap isi rumah serta pemilik perniagaan mengasingkan sisa di rumah dan di premis masing-masing.
Namun selepas hampir tujuh tahun pelaksanaannya, Haliza berkata akta itu tidak begitu membantu meningkatkan kadar peratusan kitar semula, malah ada yang mula 'lupa' mengenai akta tersebut apabila kempen berkaitan dengannya tidak lagi 'semeriah' sewaktu akta diperkenalkan.
PENGUATKUASAAN LONGGAR
Beliau berkata antara faktor utama Akta 672 dilihat kurang berkesan ialah penguatkuasaan yang masih longgar, iaitu sampah domestik tetap dikutip walaupun sebahagian masyarakat gagal mengasingkan sampah mereka.
Denda yang rendah juga dilihat menyumbang kepada "kegagalan" Akta 672.
"Di bawah akta ini, denda kompaun maksimum hingga RM1,000 boleh dikenakan berdasarkan kepada jenis premis jika penghuni ingkar mengasingkan sisa pepejal.
"Namun jika rakyat Malaysia mempunyai pengetahuan, amalan dan sikap yang positif terhadap alam sekitar, terutama berkaitan penjanaan dan pengurusan sisa pepejal, bentuk hukuman seperti denda, sama ada tinggi atau rendah, tidak menjadi isu besar. Kepatuhan kendiri bergantung pada individu, bukan jumlah denda yang dikenakan," katanya.
Selain itu kata Haliza, hingga kini, Akta 672 juga hanya berkuat kuasa di tujuh negeri, dan sebaiknya penguatkuasaan akta tersebut diperluas ke seluruh negara.
Hingga kini lima negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Selangor, Perak dan Pulau Pinang masih belum menandatangani Perjanjian Pengurusan Sistem Pepejal dan Pembersihan di bawah Akta 672.
GIATKAN PENDIDIKAN
Sekalipun tempoh yang berbaki hanya tiga tahun untuk negara mencapai sasaran 40 peratus kitar semula, masih ada ruang bagi pihak berwajib meningkatkan kesedaran masyarakat tentang isu alam sekitar menerusi amalan 3R (reuse, recycle and reduce - guna semula, kitar semula dan kurangkan pembuangan sisa), terutama dalam kalangan generasi muda.
Pengarah Institut Pengajian Sains Sosial, UPM Prof Dr Ismi Arif Ismail mencadangkan agar program pendidikan kitar semula dan pengasingan sisa pepejal serta 3R diperkasakan di peringkat sekolah serta lokaliti seperti melalui aktiviti persatuan penduduk.
Tambahnya, ibu bapa dan golongan dewasa seharusnya menunjukkan teladan yang menyokong amalan ini terlebih dahulu agar boleh dicontohi oleh golongan muda dan kanak-kanak.
"Selain itu, pertandingan yang menggalakkan budaya kitar semula serta program penghargaan bagi anak muda dan kanak-kanak yang berjaya mengamalkan pengasingan sisa, perlu diarusperdanakan agar menjadi contoh supaya lebih ramai mengamalkan budaya ini secara sukarela.
"Insentif seperti hadiah, pingat dan sebagainya pula boleh menjadi pemangkin kepada usaha murni ini. Liputan media secara meluas melalui pelbagai platform amat perlu bagi mengukuhkan gerakan kitar semula dan pengasingan sisa pepejal serta 3R ini di pelbagai peringkat masyarakat, di dalam dan luar bandar serta merentas etnik, budaya dan latar belakang ekonomi," katanya.
Beliau turut berpandangan penjanaan pendapatan sampingan melalui amalan kitar semula dan pengasingan sisa pepejal merupakan satu bentuk insentif yang baik bagi menggalakkan budaya itu menjadi amalan yang lestari dalam kalangan masyarakat.
Pelaksanaan langkah seperti ini penting bagi memberikan galakan kepada semua ahli masyarakat untuk melihat amalan tersebut secara positif serta mendapat manfaat daripadanya, tambah beliau.
-- BERNAMA / Muhammad Basir Roslan
Bernama
Sun Mar 13 2022
Kadar pembuangan sampah di tapak pelupusan dan kegagalan mengitar semula sisa buangan adalah suatu isu yang membimbangkan di negara ini. --fotoBERNAMA
Nahas ngeri di Ayer Keroh: Sambut hari lahir anak serentak sebelum pergi selamanya
Sebelum ini, mereka tidak pernah menyambut ulang tahun kelahiran ketiga-tiga anak mereka berusia tujuh, empat dan dua tahun.
Leading the Way: Malaysia's data centre rise & global impact
Malaysia has been ranked first among regional peers in Southeast Asia in Knight Frank’s SEA-5 Data Centre Opportunity Index for the second consecutive year with an annual take-up of 429 megawatts (MW). In its Data Centre Research Report 2024, the global property consultancy said growth is driven by strategic investments from tech giants like Microsoft, Amazon Web Services (AWS), Google, and Oracle, totalling 23.3 billion USD.
Spekulasi tinggalkan Old Trafford: Amorim salahkan penasihat Rashford
Rashford dalam satu temu bual seakan mahukan 'cabaran baru' selepas diketepikan daripada perlawanan awal bulan ini.
SIRIM: 50 tahun terajui transformasi teknologi dan inovasi
SIRIM, sejak penubuhannya pada 1975, telah menjadi peneraju dalam pembangunan teknologi dan penetapan piawaian. Temu bual ekslusif bersama Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, SIRIM, Datuk Indera Ir. Dr Ahmad Sabirin Arshad, FASc berkongsi tentang pencapaian dan rancangan masa depan SIRIM dalam mengukuhkan ekosistem teknologi dan inovasi negara.
[Data & Statistik] Dividen Amanah Saham Bumiputera lebih tinggi?
Kadar dividen Amanah Saham Bumiputera (ASB) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 dijangka lebih tinggi. Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Berhad, Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, agihan dividen antara 5.1 dan 5.2 peratus bagi ASB dilihat agak munasabah berdasarkan iklim pelaburan semasa.
Suami tikam isteri marah tidak dapat pinjam duit
Kejadian tikaman berlaku semasa mangsa sedang memasak di dapur.
Tinjauan 2025: Keyakinan PMKS meningkat, landskap global jadi pemboleh ubah
Landskap geopolitik yang tidak menentu, cabaran harga bahan mentah dan pelbagai lagi menjadi cabaran utama kepada PMKS di negara ini. Bagaimana mereka harus mendepaninya? Ulasan bersama Ketua Pegawai Eksekutif Akademi Usahawan Mikro, Abd Azharee Abdul Wahid.
Indeks Sentimen PKS meningkat, bukti keyakinan PMKS
Momentum positif yang direkodkan dalam kajian ini sekali lagi menekankan kedudukan PMKS sebagai segmen penting dalam ekonomi negara yang menyumbang secara signifikan kepada trajektori pertumbuhan Malaysia.
Deretan gerai berhampiran Plaza TAR terbakar
Setibanya pasukan bomba di lokasi kejadian mendapati api sedang marak di deretan gerai berkenaan.
[Data & Statistik] Indeks Sentimen Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS)
Trend peningkatan Indeks Sentimen PKS mencerminkan pertumbuhan ekonomi yang lebih baik, jangkaan jualan yang kukuh serta perancangan yang diperbaharui untuk pengembangan dan penciptaan peluang pekerjaan.
Selangor perluas inisiatif kitar semula ke 1,200 lokasi kejiranan
Selangor pergiat usaha pemuliharaan alam sekitar dengan memperluaskan program kitar semula ke 1,200 lokasi kejiranan di negeri itu.
Pulau Pinang tumpu kepada pengurusan sisa dan proses kitar semula - Chow
Chow Kon Yeow berkata pengurusan sisa buangan telah menjadi masalah ketara di Malaysia selama beberapa dekad.
Rancangan Jepun kitar semula tanah radioaktif selamat - IAEA
Rancangan Jepun untuk mengitar semula dan melupuskan tanah radioaktif dari loji janakuasa nuklear Fukushima-1 (NPP) mematuhi piawaian keselamatan, menurut Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA).
Botswana alami ledakan kitar semula, pengumpulan sisa buangan jadi perniagaan menguntungkan
Hilang pekerjaan pada 2021 membuatkan Stella Mokone, seorang ibu tunggal kepada tiga anak di Francistown, bandar kedua terbesar di Botswana beralih kepada mengutip dan menjual sampah untuk menyara keh
KPKT lancar perancangan ekonomi kitaran, majukan pengurusan sisa pepejal
Nga berkata pelan tindakan itu akan mempercepatkan peralihan kepada ekonomi kitaran sisa pepejal menerusi lima paksi utama.
Petron, Klean kerjasama sediakan mesin kitar semula berasaskan AI pertama di Malaysia
Pelanggan boleh mengitar semula bekas makanan plastik, botol PET dan tin aluminium serta mengumpul mata ganjaran melalui aplikasi.
KOSIS dapat sambutan, kadar penerimaan barangan kitar semula meningkat
Sebanyak 15,429 transaksi barangan kitar semula diterima setakat Ogos lepas, berbanding 9,769 transaksi pada tempoh sama 2022.
Qatar kitar semula barangan promosi Piala Dunia FIFA
Sejumlah 173 tan barangan promosi Piala Dunia FIFA Qatar 2022 dikitar semula oleh sebuah syarikat Arab Saudi, menurut Jawatankuasa Tertinggi bagi Penghantaran dan Legasi (SC) Qatar pada Ahad.
Raja Permaisuri Agong titah PPPM teroka peluang perniagaan bahan kitar semula
Raja Permaisuri Agong bertitah agar Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPPM) meneroka peluang perniagaan baharu termasuklah daripada bahan kitar semula.
Bilas, kitar semula bekas pembungkus makanan dari bazar Ramadan- SWM Environment
SWM Environment menyeru orang ramai untuk membilas dan mengitar semula bekas plastik yang menjadi bahan pembungkus makanan dan minuman di bazar Ramadan.