KUALA LUMPUR: Persatuan Alumni Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) meminta Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Zambry Kadir menyegerakan pengumuman rektor baharu UIAM yang dikosongkan sejak 31 Ogos lalu.


Ringkasan AI
  • Persatuan Alumni UIAM meminta Perdana Menteri dan Menteri Pengajian Tinggi untuk segera mengumumkan rektor baharu UIAM yang kosong sejak 31 Ogos lalu.
  • Kekosongan rektor dianggap tidak baik dari segi tatakelola, dan pelantikan segera diperlukan untuk memulihkan kedudukan UIAM yang menyimpang daripada falsafah asal penubuhannya.
  • Reputasi dan prestasi UIAM merosot dalam World Ranking dan jumlah pelajar antarabangsa juga menurun, dengan hanya 183 pelajar antarabangsa mendaftar pada sesi pengajian lepas berbanding lebih 1,000 orang sebelum 2020.


Menurut Presidennya, Khalik Awang, kekosongan rektor untuk tempoh yang lama adalah sesuatu yang tidak baik dari segi tatakelola.

‘’Pelantikan segera ini penting bagi memulihkan kedudukan UIAM yang menyimpang daripada falsafah asal penubuhan.

‘’Persatuan Alumni UIAM mahukan Rektor baharu yang mempunyai integriti, kewibawaan akademik dan memahami serta yang paling penting dapat kembali mendukung falsafah UIAM yang asal,’’ katanya menerusi satu kenyataan pada Isnin.

Selain itu, ujarnya, reputasi dan prestasi UIAM juga merosot dalam World Ranking, berbanding kedudukannya semasa Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi presidennya pada tahun 90-an.

Malah, rekod UIAM juga merosot setiap tahun dari segi jumlah pelajar antarabangsa.

Ujarnya, ini terbukti dengan hanya 183 pelajar antarabangsa mendaftar pada sesi pengajian lepas, berbanding lebih 1,000 orang pada tahun-tahun sebelum 2020.