HULU KELANG: Jenazah seniman Allahyarham Pyanhabib atau lebih dikenali sebagai Mohd Supyan Abdul Rahman selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam AU4, Keramat di ibu negara sekitar jam 11.45 pagi ini.


Ringkasan AI
  • Jenazah seniman Allahyarham Pyanhabib atau lebih dikenali sebagai Mohd Supyan Abdul Rahman selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam AU4, Keramat di ibu negara sekitar jam 11.45 pagi ini.
  • Sebelum itu, jenazah Allahyarham Pyanhabib yang juga bekas penyunting di Utusan Malaysia diurus dan disolatkan di Masjid As-Sobirin, Hulu Klang.


Lebih 200 terdiri daripada ahli keluarga, kenalan termasuk peminat hadir memberi penghormatan terakhir buat seniman terkemuka ini.

Sebelum itu, jenazah Allahyarham Pyanhabib yang juga bekas penyunting di Utusan Malaysia diurus dan disolatkan di Masjid As-Sobirin, Hulu Klang.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli yang turut berada di tanah perkuburan menyifatkan Allahyarham sebagai seorang teman yang setia dalam setiap keadaan.

“Arwah dulu selalu datang sokong, bimbing kami, penulisan … dia belanja makan dan travel sekali.

“Masing-masing bila kahwin, dia pasti akan datang. Bila ada program, dia akan sentiasa sokong. Abang Pyan sentiasa ada. Tiba-tiba dia muncul,” katanya.

Pyanhabib yang merupakan seorang penyair dan pelakon meninggal dunia di kediamannya di Hulu Kelang, Selangor malam tadi, seminggu selepas menyambut hari lahir ke-66.

Allahyarham Pyanhabib berkesempatan menulis di Facebook peribadinya ketika menyambut hari lahir ke-66 tahun pada Isnin lalu. 

Allahyarham pernah dianugerahkan Tokoh Penyair Kuala Lumpur 2023 oleh Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) pada tahun 2023.