Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa dilantik sekali lagi sebagai Presiden Pertubuhan Komanwel bagi Pentadbiran Awam dan Pengurusan (CAPAM) bagi sesi 2016-2018.

Pelantikan itu menjadikannya individu pertama sepanjang sejarah penubuhan pertubuhan itu sejak 1994 yang menduduki kerusi presiden untuk dua penggal berturut-turut.

Ketua Ekesekutif CAPAM, Gay Hamilton berkata keputusan dibuat sebulat suara oleh ahli Lembaga Pengarah CAPAM yang bermesyuarat dalam Persidangan Dwi Tahunan CAPAM 2016 di sini pagi tadi.

“Beliau seorang presiden yang cemerlang, banyak membantu dan mempunyai idea-idea yang baik,” katanya.

Sementara itu, Tan Sri Ali melihat pelantikan tersebut satu penghormatan buat dirinya sebagai wakil negara, pada masa sama sebagai tanda bahawa Malaysia diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Katanya, pelantikan juga dilihat sebagai peluang untuk negara-negara ahli CAPAM belajar daripada kelebihan Malaysia, terutamanya dalam inovasi sektor perkhidmatan awam.

“Mereka percaya kepada Malaysia, mereka (para delegasi NBOS dan CAPAM) telah melihat sendiri pembangunan yang kita lakukan.

“Bererti kita di sini tidak hanya menguar-uarkan teori sahaja dan mereka memuji transformasi yang dijalankan di Malaysia,” katanya.

Latar belakang

Ali, 60, dilahirkan di Kluang, Johor, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sastera (Kepujian) dari Universiti Malaya sebelum melanjutkan pengajian di Oklahoma State University, Amerika Syarikat di mana beliau memperoleh Sarjana dalam bidang Ekonomi pada 1986 diikuti ijazah doktor falsafah dalam Sains Alam Sekitar dan Ekonomi pada 1997.

Beliau yang dilantik sebagai Ketua Setiausaha Negara yang ke-13 pada Jun 2012, menyertai perkhidmatan awam pada 1981 dan berkhidmat dalam pelbagai jawatan sebelum dilantik sebagai Ketua Pengarah Unit Kerjasama Awam-Swasta di Jabatan Perdana Menteri pada April 2009.

Selain itu, Ali juga menjadi pengerusi Mass Rapid Transit Corp Sdn Bhd (MRT Corp), MyHSR Corp Sdn Bhd, Institut Integriti Malaysia (IIM), dan Bintulu Port Holdings Berhad.

Beliau juga menerajui inisiatif Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) satu usaha kerjasama pelbagai kementerian dan agensi, selaras dengan agenda transformasi negara.

Selain Ali, bekas Ketua Setiausaha Negara Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid juga pernah memegang jawatan presiden CAPAM dari 1996 hingga 1998.