KUALA LUMPUR : Paras air di kawasan lembangan, sub-lembangan dan Stesen Sungai Buloh dilaporkan mencecah ke paras amaran.

Peningkatan pada paras 24.97 (m) itu merupakan kemas kini yang dicatatkan setakat jam 11 malam, pada Jumaat.

Ianya susulan daripada hujan lebat yang berlaku sejak petang tadi.

Perkara ini turut disahkan sendiri oleh Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menerusi laman sosial beliau malam ini.

Beliau dalam masa sama, turut menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati berhadapan dengan keadaan yang tidak dapat dijangka ini.


Terdahulu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengeluarkan amaran selepas keadaan sungai mengalami trend menaik akibat hujan.

Jabatan Meteorologi (METMalaysia) dalam satu kenyataan pada Jumaat berkata, kemungkinan berlakunya hujan lebat, ribut petir dan angin kencang di Selangor sehingga jam 11 malam ini.

"Ini melibatkan Kuala Selangor, Hulu Selangor, Klang, Gombak, Petaling, Kuala Langat, Hulu Langat dan Sepang," katanya.