SANDAKAN: Akibat fenomena air laut pasang besar yang berlaku di dua kampung di daerah ini malam tadi, sebanyak 100 rumah atas air dilaporkan roboh kerana dipukul ombak.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, lebih 200 mangsa dilaporkan terjejas membabitkan penduduk Kampung Forest.

Semua mangsa yang terjejas ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Anib Dua.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, dianggarkan 100 rumah roboh di Kampung Forest dan 500 rumah lagi turut terancam. 

Sementara itu, di Kampung Tinusa Dua, terdapat kejadian lima jambatan roboh dengan 20 rumah dilaporkan dalam keadaan terancam. 


Foto JBPM/APM


"Namun, tiada mangsa dilaporkan cedera dalam kejadian itu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, tindakan pemantauan masih dijalankan oleh anggota bomba di Kampung Forest.

"Maklumat akan dikemas kini dari semasa ke semasa manakala di Tinusa Dua, paras air mulai surut dan penghuni kembali semula ke rumah masing-masing.

"Selepas memastikan keadaan selamat, operasi di Kampung Tinusa Dua ditamatkan pada 1.45 pagi tadi," katanya. 

Foto JBPM/APM