BUTTERWORTH: Pengunjung ke Pulau Pinang dinasihatkan supaya menjauhi kawasan pantai dan tidak melakukan aktiviti laut dalam tempoh fenomena air pasang besar yang berlaku sejak semalam hingga 21 Okt ini, bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata yang telah melawat beberapa lokasi hotspot fenomena itu bersama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Pulau Pinang berkata walaupun keadaan masih terkawal, namun pihaknya tidak dapat menjangkakan situasi dalam tempoh dua hari lagi.

"Setakat ini memang tiada laporan mengenai banjir dan sebagainya memandangkan fenomena itu dikatakan selama empat hari dan hari ini baru hari kedua. Jadi kita tak tahu macam mana (dua hari lagi).

"Sekiranya berlaku angin kencang, ombak akan kuat, jauhi diri daripada kawasan tersebut," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Konvokesyen Penganugerahan Sijil Program Empower Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER): Kemahiran dan Keusahawanan.

Sebanyak 450 peserta program EmpowerNCER menerima sijil tamat latihan dalam majlis diadakan di Pusat Konvensyen PICCA, Butterworth Arena di sini hari ini, yang turut dihadiri Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) Mohamad Haris Kader Sultan.

Sementara itu, Chow berkata bilik operasi di setiap daerah telah bersiap sedia bagi memantau situasi fenomena air pasang besar di negeri itu supaya tindakan segera dapat dilakukan.

"Bilik operasi ada di setiap daerah dan SUK (Setiausaha Kerajaan Negeri) sudah turunkan arahan untuk bersiap sedia (bilik operasi) manakala pihak berkuasa tempatan telah bersiap sedia.

"Kita sentiasa meneliti kalau adanya laporan banjir maka tindakan susulan diambil dan kalau perlu, pembukaan pusat pemindahan sementara dibuka," katanya.

Media sebelum ini melaporkan Pulau Pinang diramal mengalami fenomena air pasang besar antara 18 hingga 21 Okt nanti berdasarkan Jadual Pasang Surut Malaysia 2024 yang akan mencecah 2.8 hingga 3.1 meter CD (Chart Datum) dan waktu puncak air pasang besar itu adalah antara tengah malam hingga awal pagi.

Pertembungan hujan lebat dalam tempoh sejam dengan air pasang tinggi akan berisiko kepada kawasan pinggir pantai dan sungai-sungai utama di Pulau Pinang dan mengikut piawaian JPS negeri, sekiranya jumlah hujan melebihi 60 milimeter (mm) sejam, ia dianggap hujan sangat lebat.

-- BERNAMA