ALOR SETAR: Seramai lima juta anak Kedah dari perantauan dijangka pulang ke kampung sempena sambutan Hari Raya bermula hujung minggu ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, berkata berikutan itu penggunaan air di negeri itu dijangka meningkat sehingga 30 peratus sepanjang sambutan perayaan berkenaan.

Katanya, penggunaan air meningkat daripada 780 juta liter sehari (MLD) yang merupakaan kadar penggunaan harian biasa, kepada lebih 1,000 MLD sepanjang tempoh perayaan.

"Sada (Syarikat Air Darul Aman) telah meningkatkan pemantauan di semua loji rawatan air, rumah pam dan kolam imbangan dalam usaha memaksimumkan peratusan pengeluaran air.

"Sebarang kerja penyelenggaraan yang berjadual termasuk pembaikan pam, paip dan pertukaran meter telah ditangguhkan bagi memberi fokus kepada pengeluaran air terawat.

"Buat masa ini ada loji Sada yang beroperasi 100 peratus dan ada yang 120 peratus," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan EXCO Kerajaan Negeri Kedah di Wisma Darul Aman, Alor Setar pada Rabu.

Sehubungan itu, tegasnya Sada akan melaksanakan pelan kontigensi dalam menangani masalah gangguan bekalan air bermula 29 April sehingga 6 Mei termasuk mewujudkan 12 Pusat Khidmat Setempat (PKS) di kawasan berisiko menghadapi masalah gangguan bekalan.

Selain itu, 12 lori tangki dan tangki statik akan ditempatkan di setiap lokasi PKS dalam menyelesaikan aduan penduduk setempat dalam kadar segera tanpa perlu melibatkan aduan kepada pihak SADA.

Tambah Sanusi, 71 lori tangki juga turut dipersiapkan untuk digerakkan ke kawasan-kawasan lain yang turut terjejas dengan masalah bekalan air.