Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi malam ini meraikan peserta ASEAN Rides Festival pada majlis makan malam di sini.

Majlis anjuran Persatuan Superbikers Malaysia (SAM) di perkarangan Istana Kehakiman yang melibatkan 380 penunggang motosikal berkuasa tinggi dari Malaysia, Singapura, Brunei, Timor Leste dan Indonesia itu turut dihadiri Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Seri Alwi Ibrahim, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed dan Presiden Gabungan Superbike Malaysia, Datuk Abdul Halim Suleiman.

Terdahulu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Eksekutif SAM dalam ucapannya meminta rakan penunggang motosikal ASEAN mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang menarik untuk dikunjungi apabila kembali ke negara masing-masing.

"Saya dimaklumkan sepanjang enam hari festival, peserta bermotosikal dari semua negara terbabit begitu teruja dengan layanan yang diberikan serta kemudahan yang dinikmati di sepanjang perjalanan.

"Saya harap pengalaman yang dikutip ini dapat dikongsi bersama rakan-rakan lain di negara masing-masing kelak," katanya.

Ahmad Zahid menarik perhatian bahawa beliau berhasrat mengumpulkan lebih ramai penunggang motosikal berkuasa tinggi tahun hadapan kerana beliau yakin program permotoran mampu memupuk semangat permuafakatan sekali gus mengetepikan segala perbezaan termasuk politik.

ASEAN Rides Festival 2015 yang bermula mengikut zon di Perlis dan Johor akan menamatkan kembara di Putrajaya untuk acara kemuncak festival itu esok di Dataran Putrajaya yang dijangka akan menghimpunkan 10,000 peserta.