Bekas menteri persekutuan Tan Sri Bernard Dompok antara tujuh yang menerima watikah pelantikan sebagai ketua perwakilan Malaysia ke luar negara daripada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah di Istana Negara hari ini.

Berangkat sama ke istiadat itu ialah Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah.

Turut hadir, Timbalan Menteri Luar Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan isteri Datin Seri Ismalina Ismail dan Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Ho May Yong.

Dompok, 67, yang juga bekas Ketua Menteri Sabah dilantik sebagai Duta Besar Malaysia ke Holy See.

Turut menerima watikah ialah bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hasan Malek yang dilantik sebagai Duta Besar ke Kemboja.

Lima lagi yang menerima watikah ialah Shahril Effendi Abd Ghany yang dilantik sebagai Duta Besar ke Oman, Datuk Ayauf Bachi sebagai Duta Besar ke Ukraine, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin sebagai Duta Besar ke Poland, Datuk Ilango Karuppannan yang dilantik sebagai Pesuruhjaya Tinggi ke Singapura dan Wan Zaidi Wan Abdullah sebagai Pesuruhjaya Tinggi ke Sri Lanka.

Pada istiadat itu, tujuh Ketua Perwakilan Asing ke Malaysia turut mempersembahkan watikah pelantikan masing-masing kepada Tuanku Abdul Halim.

Mereka ialah Duta Besar Republik Demokratik Rakyat Laos, Houmdaophone Soukhaseum, Duta Besar Republik Croatia, Kreso Glavac dan Duta Besar Republik Senegal, Dr Adrienne Diop.

Empat yang lain ialah Duta Besar Mongolia, Tugsbilguun Tumurkhuleg, Duta Besar Republik Mali Niankoro Yeah Samake, Duta Besar Republik Bulgaria, Sergey Michev dan Pesuruhjaya Tinggi Republik Cyprus, Demetrios A. Theophylactou.

Diop, Glavac dan Houmdaophone merupakan ketua perwakilan asing yang bermastautin di negara ini manakala empat yang lain bermastautin di luar negara.

Michev bermastautin di Jakarta, Indonesia, Yeah Samake dan Theophylactou di New Delhi, India, dan Tugsbilguun di Bangkok, Thailand.