PETALING JAYA: Teka-teki siapa bakal menjadi Perdana Menteri ke-10 terus menjadi tanda tanya bukan sahaja dalam kalangan petugas media, malah keseluruhan rakyat Malaysia.

Hari ini beberapa kawasan utama terus menjadi tumpuan para media untuk membawakan perkembangan terkini berkenaan persoalan tersebut termasuk di pejabat Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim di Bukit Gasing.

Ia pastinya terus menjadi tumpuan selepas Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO malam tadi sebulat suara memutuskan untuk menyokong kerajaan perpaduan yang bukan diterajui Perikatan Nasional (PN) bagi memastikan sebuah kerajaan yang stabil dan makmur dibentuk.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, ketetapan itu dibuat dalam mesyuarat MKT parti itu yang dipengerusikan Presiden Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada Rabu.

Ia menimbulkan persoalan adakah ini bermakna BN akan bekerjasama bersama PH untuk membentuk kerajaan perpaduan seperti yang dititahkan Yang Dipertuan Agong?

Persoalan itu juga mungkin terjawab selepas Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu yang sedang berlangsung berhubung proses pembentukan kerajaan.

Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu itu, perlu untuk mendapatkan pandangan Duli-Duli Tuanku demi kesejahteraan negara dan rakyat.

Pada masa sama, semalam Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyeru seluruh rakyat agar terus beristiqamah dan bertenang sehingga proses pembentukan kerajaan baharu selesai.