KUALA LUMPUR: Titah Adendum yang didakwa dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong (YDPA) ke-16 bagi membolehkan Datuk Seri Najib Razak menjalani baki hukuman penjara sebagai tahanan rumah, bukan cerita dongeng, sebaliknya ia memang wujud.

Anak sulung bekas Perdana Menteri itu, Datuk Muhammad Nizar dalam program Demi Najib 2.0 malam tadi mengulangi kenyataan tersebut, dengan menegaskan tiada mana-mana pihak yang pernah menafikan kewujudan titah berkenaan.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Peramu Jaya itu, kewujudan Titah Adendum bukan karut, dan menunjukkan terdapat implikasi besar jika beliau menipu tentang perkara tersebut.

Dakwanya lagi, YDPA ke-16 telah mengirim satu surat kepada bekas Peguam Negara dengan menitahkan agar bekas Ahli Parlimen Pekan itu layak mendapat tahanan di rumah.

“Itu terjadi selepas mesyuarat Lembaga Pengampunan pada 29 Januari lalu.

“Malah dalam afidavit saya sebelum ini, Sultan Pahang dah mengesahkan telah mengirimkan surat itu kepada Peguam Negara di satu majlis Kompleks Kraftangan Tuanku Azizah, saya telah dititah mengadap dan tuanku sendiri memberitahu bahawa baginda perkenan salinan Titah Adendum tersebut," katanya di Pusat Konvensional Melawati di sini pada Sabtu.

Muhammad Nizar juga memaklumkan telah memohon perkenan untuk mendapatkan salinan Titah Adendum, dan menerimanya daripada pihak Istana Pahang pada Ogos lalu.

"Salinan Titah Adendum tersebut dan memang jelas surat itu arahan titah untuk memberi tahanan rumah,” ujar beliau lagi.

Muhammad Nizar yang juga Exco Pahang menambah sekiranya perintah itu palsu, laporan polis sudah tentu dibuat terhadap dakwaan kewujudan Titah Adendum.

Pada 9 Disember lalu, Mahkamah Rayuan menetapkan 6 Januari depan bagi pendengaran rayuan Najib berkaitan keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonan bagi memulakan semakan kehakiman untuk mencabar kewujudan Titah Adendum.

Jabatan Peguam Negara berkata, tarikh itu juga untuk Najib mengemukakan keterangan tambahan berkaitan titah adendum itu.

Titah Adendum yang dikatakan diperkenan oleh YDPA ke-16 akan membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah.

Najib ketika ini menjalani hukuman penjara enam tahun selepas Lembaga Pengampunan mengurangkan hukuman asal selama 12 tahun susulan sabitan kes SRC International Sdn Bhd.