KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub yang meninggal dunia semalam.

Seri Paduka Baginda berdua dalam hantaran di akaun Facebook Istana Negara sebentar tadi turut menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan besar kepada masyarakat dan negara selain  menzahirkan harapan agar seluruh keluarga Allahyarham tabah menghadapi dugaan ini.



"Seri Paduka Baginda berdua mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman dan beramal soleh.

"Seri Paduka Baginda berdua menghargai jasa, khidmat dan bakti Allahyarham kepada negara serta menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan besar kepada masyarakat dan negara," tulis kenyataan itu.

Salahuddin, 61, yang juga Ahli Parlimen Pulai dan Ahli Dewan Undangan Negeri Simpang Jeram meninggal dunia pada 9.23 malam Ahad di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar, Kedah.

Jenazah Allahyarham disembahyangkan di Masjid Jamek Dato' Haji Noh Gadot di Serkat, di sini, hari ini.

Salahuddin, yang juga Timbalan Presiden Amanah, dikejarkan ke wad kecemasan HSB pada 10.15 malam pada Jumaat setelah mengalami mual serta muntah-muntah sebelum disahkan mengalami pendarahan otak oleh doktor pakar.