KUALA LUMPUR: Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah menggesa sektor swasta meningkatkan usaha membantu golongan kanak-kanak serta remaja di Malaysia dalam mendepani pelbagai isu termasuk pendidikan, masalah sosial dan kesihatan mental.

Menerusi hantaran di laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Raja Zarith Sofiah bertitah agar syarikat korporat dan perniagaan memainkan peranan aktif dalam menyediakan generasi muda ke arah masa depan yang lebih baik.

"Sejak pandemik COVID-19, beta telah banyak mendengar dan menyelami keluh-kesah rakyat. Beta percaya adalah sebahagian daripada amanah serta tanggungjawab beta untuk membantu kanak-kanak dan remaja dalam masalah yang mereka hadapi.

"Beta harap pemain-pemain industri dalam pihak swasta akan membantu beta menangani isu-isu ini dan bekerjasama dengan Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor dalam program tanggungjawab sosial korporat mereka," titah Seri Paduka Baginda.

Bagi tujuan itu, Raja Permaisuri Agong juga telah berkenan mengadakan beberapa siri pertemuan bersama Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abdul Kadir serta pensyarah Pusat Pengajian Tinggi Islam, Sains dan Peradaban (RZS-CASIS) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di mana Raja Zarith Sofiah menjadi Canselor.

"Hari ini, beta turut bertemu dengan (Pengasas dan Pengerusi Kumpulan Sunway) Tan Sri Jeffrey Cheah serta rombongan daripada Sunway dan beta berharap untuk bertemu dengan pihak-pihak lain yang berminat untuk bekerjasama demi kebaikan serta manfaat orang-orang muda negara kita," titah Raja Permaisuri Agong.

-- BERNAMA