Satu peniliaian Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mencegah Rasuah (UNCAC) telah mengiktiraf Malaysia sebagai antara negara yang mempunyai bilangan amalan baik yang paling tinggi dalam memerangi rasuah.

Hasil laporan penilaian UNCAC 2013 itu diumumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Paul Low hari ini.

"Laporan menegaskan bahawa Malaysia menerima pengiktirafan untuk amalan terbaik dalam 23 perkara, jumlah tertinggi antara semua negara yang dinilai! " kata Low semasa ucapannya di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia di sini.

UNCAC adalah konvensyen antarabangsa di bawah Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC) yang mewajibkan negara-negara ahli melaksanakan langkah-langkah pencegahan rasuah secara meluas dan terperinci.

Malaysia telah menandatangani UNCAC pada 9 Disember 2003 dan diratifikasikan pada 24 September 2008. Sehingga Ogos 2013, terdapat 167 negara yang menandatangani UNCAC.

Sebagai sebahagian daripada proses UNCAC, negara-negara terbabit tertakluk kepada semakan dan penilaian oleh negara-negara anggota yang lain di mana inisiatif anti-rasuah khusus mereka diperiksa dan diukur dengan piawaian antarabangsa.

Penilaian terbaru keatas Malaysia ini telah dijalankan oleh Kenya dan Filipina pada Februari 2013.

Low, yang menjaga portfolio berkaitan integriti, ketelusan, tadbir urus dan juga hak asasi manusia, berkata bahawa terdapat beberapa perkara di mana laporan penilaian itu mendapati masih terdapat kelemahan dan mengesyorkan penambahbaikan.

"Antara cadangan utama laporan yang sedang kami usahakan adalah untuk menubuhkan suruhanjaya perkhidmatan berasingan agar SPRM boleh mengambil bukan sahaja petugas daripada perkhidmatan awam tetapi juga pakar dari mana-mana sektor sekalipun," kata Low.

Low menambah bahawa kerajaan juga mahu kedudukan Ketua Pesuruhjaya SPRM setaraf dengan Ketua Hakim, dimana beliau tidak dapat dilucutkan dari jawatannya kecuali melalui satu tribunal khas.

"Ini memerlukan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan tetapi saya rasa ini adalah sesuatu yang melintasi jurang politik, ia baik untuk SPRM dan untuk negara."

Antara cadangan lain yang sedang dipertimbangkan adalah pindaan kepada Akta SPRM, iaitu menjadikan ‘hidup di luar kemampuan seseorang' sebagai satu kesalahan dan menjadikan syarikat bertanggungjawab ke atas perbuatan rasuah pekerja mereka .

Low berjanji bahawa semua cadangan yang boleh diambil tindakan akan dibawa kepada Perdana Menteri dan Kabinet.

Sementara itu, Penasihat Anti- Rasuah dari Pejabat PBB berkaitan Dadah dan Jenayah Asia Tenggara Shervin Majlessi berkata penilaian itu telah mendapati bahawa beberapa undang-undang rasuah Malaysia boleh “diperhalusi dan diperluaskan ".

Majlessi menambah bahawa terdapat juga cadangan untuk mengukuhkan undang-undang berkaitan “menghalang keadilan".

Beliau juga berkata laporan itu mendapati risiko kurangnya kebebasan, kerana Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah kini dilantik atas syor Perdana Menteri.

"Tetapi kami gembira untuk mendengar perkara ini sedang ditangani," katanya.