KUALA LUMPUR: Seorang pengerusi anggota lembaga pengarah sebuah koperasi hartanah bergelar Datuk akan didakwa di Mahkamah Sesyen Butterworth esok membabitkan rasuah lebih RM16 juta.

Difahamkan suspek akan berhadapan 160 pertuduhan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 [Akta 613].

Menurut sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), suspek didakwa menerima sogokan itu daripada seorang Pengarah syarikat pemaju bergelar Tan Sri melalui syarikat miliknya.

Jelasnya, sogokan itu sebagai balasan melantik syarikat pemaju tersebut untuk projek usahasama yang dijalankan di tanah-tanah milik koperasi bagi tujuan pembangunan.

Selain itu, suspek juga akan didakwa Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 [Akta 613] (AMLATFAPUAA 2001).

Terdahulu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat penahanan ke atas pengerusi koperasi terbabit  berdasarkan siasatan dan operasi yang dijalankan agensi berkenaan pada Ogos tahun lalu.

Selain Mahkamah Sesyen di Butterworth , suspek juga akan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 15 Julai depan.