Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan menyarankan agar setiap agensi media cetak atau akhbar tempatan yang berpangkalan di Sabah menubuhkan biro masing-masing di Semenanjung.

Beliau berkata transformasi media itu penting bagi memastikan isu berkaitan negeri ini mempunyai sudut yang eksklusif di peringkat nasional, sekali gus memenuhi aspirasi gagasan 1Malaysia.

Abdul Rahman yang juga anggota Parlimen Kota Belud turut mencadangkan biro-biro itu diwujudkan di Parlimen bagi memperhalusi dan mengupas pelbagai isu yang didebatkan dengan Kementerian pusat terutama menyentuh kepentingan rakyat dan negeri Sabah.

Beliau berkata demikian pada majlis meraikan pengamal media anjuran kementeriannya yang turut dihadiri ketua pengarang dan ketua biro media cetak dan elektronik Sabah, di sini malam tadi.

Katanya pewujudan biro itu akan bertindak sebagai sokongan kepada sumber berita sedia ada termasuk Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) yang banyak digunakan dalam media tempatan Sabah.

"Saya fikir sudah tiba masanya akhbar tempatan mewujudkan biro di Semenanjung supaya isu-isu yang ada kaitan dapat diulas mengikut perpekstif negeri Sabah dan seterusnya dimuatkan dalam surat khabar dari Sabah.

"Kalau tidak, kebergantungan kepada Bernama dan sumber ketiga mungkin tidak mampu membawa aspirasi rakyat negeri Sabah terutama dasar-dasar yang dilaksanakan kerajaan Persekutuan," katanya.

Beliau juga menghargai sumbangan dan peranan yang dimainkan media di Sabah terutama dalam soal pemantapan perpaduan nasional dan penyebaran maklumat mengenai pelbagai dasar dan program pembangunan kerajaan untuk manfaat rakyat.