KUALA LUMPUR:Insiden berkaitan anggota polis yang dikatakan melakukan gangguan seksual dan menyalah guna kuasa semasa bertugas, perlu disiasat dengan adil dan pantas, kata aktivis sosial Tan Sri Lee Lam Thye.

Beliau berkata sekiranya perkara itu didapati benar-benar berlaku, tindakan yang sewajarnya perlu diambil secepat mungkin, dan sekiranya ia didapati tidak benar, pihak yang tidak bersalah perlu dilepaskan, juga dengan pantas.

"Insiden ini, sekiranya benar-benar berlaku, menimbulkan kemarahan masyarakat terhadap penguat kuasa undang-undang di samping menimbulkan isu mengenai etika kerja dan tingkah laku moral mereka," katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Menurutnya jika perkara itu tidak ditangani segera, tuduhan semakin menjadi-jadi dan sukar dikawal, malah boleh mengakibatkan kerosakan besar.

Lee berkata tindakan pantas bukan hanya memastikan keadilan ditegakkan, malah ia juga akan mengembalikan keyakinan orang ramai kepada agensi-agensi penguatkuasaan undang-undang.

Pada 12 Feb lepas, seorang wanita dalam catatan Twitternya mendakwa beliau ditahan di satu sekatan jalan raya di Jalan Duta, diganggu oleh seorang angota polis yang bertugas.

-- BERNAMA