Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan yakin rakyat semakin memahami kebaikan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang dilaksanakan sejak 1 April lepas, kata Menterinya Datuk Seri Hasan Malek.

Beliau berkata kesimpulan itu dibuat berdasarkan statistik kementerian yang menunjukkan pengurangan dari segi bilangan aduan pengguna.

"Persepsi ini dibuat berdasarkan aduan yang kami terima. Kita percaya mereka sudah mula memahami bahawa GST ini tidak menyusahkan sesiapa sebaliknya ia menguntungkan rakyat," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan buku Coffee Table Hasan Malek 'Legasi Pemimpin Berjiwa Rakyat' di Bangsar South City, di sini hari ini.

Berdasarkan maklumat daripada pusat gerakan antipencatutan, jumlah aduan mingguan yang diterima menurun sehingga 60 peratus iaitu sebanyak 1,084 aduan bagi tempoh 15 April sehingga 30 April berbanding 442 aduan bagi tempoh 1 Mei hingga 14 Mei.

Justeru, Hasan menyarankan pengguna untuk terus membuat aduan berkaitan cukai baharu itu bagi memastikan tindakan segera dapat diambil ke atas peniaga yang cuba mengaut keuntungan dengan menipu pengguna.


"Tugas kami ialah untuk membela pengguna tetapi pengguna perlu bantu juga dengan memberi maklumat yang sahih dan lengkap untuk kita turun menyiasat. Hari ini bukan setakat amaran sahaja, kita terus ambil tindakan ke atas mereka," kata Hasan.

Beberapa syarikat terkemuka seperti Trendcell Sdn Bhd, yang memiliki pasar raya Jaya Grocer, dan Aeon Co. (M) Bhd merupakan antara yang telah dihadapkan ke mahkamah di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 baru-baru ini.

Hasan berharap para peniaga dapat mengambil pengajaran daripada tindakan undang-undang yang dikenakan kepada peniaga tersebut.

Sejak 1 April hingga semalam, sebanyak 5,982 aduan berkaitan antipencatutan GST telah diterima dan kenaikan harga atau perkhidmatan merupakan aduan tertinggi.