Menurut beliau, pihaknya juga belum dapat memberi maklumat kerana setakat ini belum menerima pengesahan tentang tangkapan terebut.
“Dalam isu ini kita tidak mahu berspekulasi kerana kita sendiri belum mengenal pasti adakah warga Malaysia yang ditangkap. Kalau benar rakyat Malaysia, pihak kedutaan akan memberi bantuan sewajarnya bagi memberi keselesaan (dalam menguruskan insiden tersebut).
“Setakat ini, pihak kami tidak mendapat maklumat rasmi,” ujar Zahrain yang meminta ruang untuk memperoleh kepastian berikutan cerita tentang tangkapan tersebut adalah yang dibawa oleh pihak media.
Selain menunggu pengesahan rasmi dan kesediaan memberi bantuan yang berkaitan bagi melancarkan proses, kata Zahrain, Malaysia dan Indonesia juga ada persefahaman tentang isu melibatkan soal perbatasan, kelautan dan perikanan.
“Kalau ada nelayan-nelayan yang menceroboh, lazimnya kita akan halau mereka pulang, lebih-lebih lagi jika ia menggunakan kapal-kapal yang di bawah lima tan. Ini kerana mereka itu dianggap sebagai nelayan-nelayan kecil yang bukan sengaja untuk menceroboh.
Ditanyakan mengenai nada reaksi Presiden Indonesia, Joko Widodo yang agak tegas dalam mengulas insiden berkenaan, Zahrain memberitahu pihaknya sedar bahawa pemerintah nombor satu republik tersebut serius dalam menangani masalah kehilangan sumber daripada aktiviti tangkapan ikan secara haram di perairannya.
Menurut Zahrain, pihaknya menyambut baik tentang memorandum persefahaman yang dinyatakan Menteri Perikanan dan Hal Ehwal Maritim Indonesia, Susi Pudjiastuti. - Foto AFP
“Kita harus lihat dari segi keseluruhan. Kita faham tentang seriusnya pemerintah Indonesia hendak menangani isu melibatkan kelautan dan perikanan.
“Namun kita perlu ambil tahu bahawa lautan ini kita kongsi bersama, malah sampai ke pantai dan perairan kita juga terlibat dalam hal kelautan tersebut,” kata Zahrain yang menyambut baik tentang memorandum persefahaman (MoU) seperti yang dinyatakan Menteri Perikanan dan Hal Ehwal Maritim Indonesia, Susi Pudjiastuti.
Pada Khamis lalu, Susi berkata pada Disember ini, Indonesia akan menandatangani satu memorandum persefahaman untuk menentang penangkapan ikan secara haram dengan enam duta dari negara-negara jiran termasuk Malaysia, Filipina, Thailand, Vietnam, Australia dan China.
Berkaitan insiden pencerobohan tersebut, menurut Zahrain, isu tentang keterjejasan hubungan dua hala tidak timbul.
“Ini adalah sebuah kes terpencil dan ia tidak menjejaskan hubungan dua hala antara kedua-dua negara. Hubungan kita adalah lebih besar daripada itu perikanan ini.
“Hubungan kita pada hari ini baik dan saya percaya kedua-dua pihak pemerintah tidak akan membenarkan satu kes terpencil ini menggagalkan hubungan bilateral. Agenda kita dalam hubungan antara dua negara adalah lebih besar (daripada kes tersebut),” ujar beliau.
Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia, Datuk Irmohizam Ibrahim ketika dihubungi berkata proses pengenalpastian ini akan dilakukan melalui nombor pendaftaran bot-bot yang terbabit.