Tokoh wartawan negara, Tan Sri Johan Jaaffar berpendapat, adalah tidak wajar Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) itu kecewa dan menyalahkan media sebagai penyebab semua ahli LPPR menolak kenyataan beliau.
Memetik laporan The Star, beliau menegaskan, Abu Zahar perlu berundur daripada jawatannya segera.
"Saya kecewa dengan tindakan Abu Zahar Ujang yang menyalahkan media atas kekhilafan beliau semasa sidang media pada 5 Januari lalu.
"Menyalahkan media atas kegagalannya diri sendiri adalah satu tindakan yang tidak bertanggungjawab dan tidak wajar," katanya pada sidang media di sini, pada Selasa.
BACA SEMUA BERHUBUNG AZAM BAKI DI SINI
BACA: Ini ringkasan sidang media Pengerusi LPPR, Tan Sri Abu Zahar pada 11 Januari 2022
BACA: 'I have nothing to hide' - Abu Zahar sedia disiasat, serah kedudukan kepada Agong
"Dengan ini, lebih baik dengan hormat letak jawatan dengan segera seperti yang dituntut pelbagai pihak.
"Kami pengamal media dan rakyat hanya mengharapkan akauntabiliti yang tinggi daripada beliau.
"Saya juga tertanya-tanya apakah beliau akan turut menyalahkan media dengan tindakan enam ahli LPPR yang tidak bersetuju dengan kenyataannya dan menyifatkannya sebagai pandangan peribadi beliau semata?," soalnya.
BACA: "Itu pandangan peribadi Abu Zahar, kami kemuka cadangan lain" - 6 Ahli LPPR
Dalam pada itu, wartawan veteran, Datuk Seri Wong Chun Wai memberitahu, media perlu terus memainkan peranan secara adil dan profesional.
"Media perlu memainkan peranan sebagai watchdog dan tidak seharusnya dijadikan sebagai 'kambing hitam'," katanya.
Pada masa yang sama, beliau mengakui setiap individu tidak boleh dilihat prejudis dan perlu dilaporkan secara adil oleh media.
Dalam satu sidang media pada Selasa, Abu Zahar menyalahkan media sebagai penyebab semua ahli Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah menolak kenyataan beliau pada 5 Januari lalu.
Beliau memberitahu, kenyataannya setebal 13 muka surat, tetapi tidak dilaporkan secara menyeluruh oleh sesetengah media sehingga “menyumbangkan kepada salah tanggapan dalam kalangan masyarakat.”
Beliau berkata kenyataannya terbarunya bertujuan meletakkan beberapa perkara “dalam perspektif yang betul dan tepat”, kerana masyarakat telah mendapat gambaran yang tidak tepat selepas mengikuti laporan media sebelum ini.