Isu FashionValet: 11 beg tangan, seutas jam tangan mewah disita dari kediaman Vivy, Fadza
SPRM menyita 11 beg tangan dan seutas jam tangan jenama mewah yang dianggarkan bernilai RM200,000 dari kediaman pengasas platform e-dagang, FashionValet, Datin Vivy Yusof dan suaminya.
Astro Awani
Wed Nov 06 2024
Vivy dan suami dijangka hadir ke SPRM di Putrajaya pada Khamis untuk dirakam percakapan mereka. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyita 11 beg tangan dan seutas jam tangan jenama mewah yang dianggarkan bernilai RM200,000 dari kediaman pasangan dan pengasas platform e-dagang, Fashion Valet, Datin Vivy Yusof dan suaminya, Datuk Fadzaruddin Shah Anuar.
Sumber mendedahkan kepada Astro AWANI, sitaan itu dibuat SPRM selepas pasukan penguat kuasa itu membongkar kediaman pasangan suami isteri tersebut di Mont Kiara, Kuala Lumpur pada Rabu.
Tambahnya, sebelum itu, pasangan tersebut hadir ke SPRM jam 1 petang untuk memberi keterangan kemudiannya dibawa ke kediaman jam 5.30 petang bagi tujuan pembongkaran.
“Dalam serbuan ini, selain dihadiri 12 pegawai SPRM, ia turut disertai peguam pasangan tersebut.
“Penggeledahan berakhir sekitar jam 8 malam dan antara barangan yang disita termasuklah 11 beg tangan dan seutas jam tangan berjenama mewah dengan anggaran keseluruhan kira-kira RM200,000," katanya.
Sementara itu, semalam Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan pembongkaran tersebut.
Menurut Azam, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Tambah beliau, pasangan tersebut akan hadir lagi ke SPRM esok jam 10 pagi untuk dirakam keterangan.