Isu FashionValet: Vivy, suami dipercayai akan kembali ke SPRM Khamis
Siasatan ke atas pengasas platform e-dagang fesyen, Datin Vivy Yusof dan Datuk Fadzaruddin Shah Anuar, mungkin diteruskan pada Khamis.
Irfan Faruqi
Wed Nov 06 2024
Vivy dan suami dilihat meninggalkan bangunan SPRM di Putrajaya pada 4.23 petang Rabu ditemani pegawai penyiasat. - Gambar Sinar Harian
KUALA LUMPUR: Siasatan ke atas pengasas platform e-dagang fesyen, Datin Vivy Yusof dan Datuk Fadzaruddin Shah Anuar, mungkin diteruskan pada Khamis.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi Astro AWANI berkata, bagaimanapun ia bergantung kepada siasatan badan penguatkuasa terbabit.
"Kebiasaannya akan disambung kenyataan setelah selesai pemeriksaan di premis-premis mereka, bagi menentukan dokumen dan aset-aset milik mereka," kata Azam.
Beliau juga mengesahkan pegawai SPRM akan berada di premis FashionValet untuk menyemak beberapa dokumen berkaitan siasatan.
Terdahulu, Vivy dan suami dilihat meninggalkan bangunan SPRM di Putrajaya pada 4.23 petang Rabu ditemani pegawai penyiasat selepas dirakam percakapan sejak tengah hari tadi.