KUCHING: Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg optimis isu berhubung kerusi ‘panas’ di Parlimen Puncak Borneo dan Saratok akan dapat diselesaikan dalam tempoh terdekat.

Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) itu mengakui kawasan tersebut dikaitkan dengan kontroversi sebelum ini.

Beliau mendedahkan perkara itu sedang diperhalusi dengan teliti dan kini hampir dimuktamadkan.

“Ya kita akan tangani isu ini, mungkin dalam perkiraan saya ia akan selesai dalam tiga hari dan hampir semua telah dimuktamadkan,” katanya dalam satu sesi temu bual di pejabatnya di Bangunan Dewan Undangan Negeri Sarawak di Kuching pada Khamis.


Siapa yang akan bertanding di kerusi Puncak Borneo, masih menjadi tanda tanya ketika penyandangnya Datuk Willie Mongin kini sudah menyertai PBB selepas mengambil keputusan keluar PKR sebelum ini.

Sebelum diterima menjadi ahli PBB tanpa syarat, Willie menjalankan peranannya selaku Ahli Parlimen Bebas.

Namun, status nasibnya pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan diketahui tidak lama lagi apabila Presiden PBB mengumumkan senarai akhir calon yang dijangka akan dibuat pada 3 November depan.

Untuk rekod pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) Sarawak, Willie mengambil keputusan untuk tidak bertanding di kerusi Mambong.

Sebaliknya memberi sokongan penuh kepada calon GPS, Datuk Dr Jerip Susil di kawasan itu.

Ia dilihat sebagai persefahaman ke arah mengutamakan kepentingan rakyat sebagai asas kerjasama jitu.

Begitu juga senario politik di DUN Krian yang disandang oleh Datuk Ali Biju sebelum ini yang turut menyatakan sokongan kepada calon GPS, Friday Belik.

Meskipun pada awalnya ahli Bersatu itu tampil selaku calon Bebas semasa hari penamaan calon yang menimbulkan kontroversi selepas Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi jaminan bahawa Ali tidak mempertahankan kerusinya.

Namun kemunculan Ali di pusat penamaan calon bersama penyokong dan pencadang menyerahkan borang pencalonan menyebabkan rasa tidak senang.

Walaupun dikatakan telah menarik diri ketika itu selepas dinasihatkan presiden parti, borang pencalonan Ali telahpun diterima dan diproses pengurus pilihan raya dan didaftarkan sebagai calon.

Keputusan itu sebagai menghormati kerjasama dan konsensus yang terjalin sebelum ini antara Perikatan Nasional (PN) dan GPS.

Ia agar GPS memberi laluan kepada Ali Biju untuk bertanding mempertahankan kerusinya di Saratok pada PRU15.