Survei Khas Kesan COVID-19 kepada Ekonomi dan Individu (Pusingan 2) mendapati 96.8 peratus atau 40,076 responden menerima manfaat daripada Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin (PRIHATIN) yang diumumkan kerajaan bagi mengatasi impak pandemik COVID-19, bulan lalu.

Hasil kajian yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia hari ini menyatakan, 68.2 peratus responden menerima tiga bentuk bantuan; 13.9 peratus (dua bantuan), manakala 17.9 peratus (satu bantuan).

Menurut kenyataan itu, laporan tersebut dijalankan secara dalam talian bermula 10 hingga 24 April lalu membabitkan empat modul iaitu umum, pekerjaan, corak kehidupan dan pendidikan meliputi 36 soalan.

Seramai 41,386 responden yang berumur 15 tahun dan ke atas telah menyertai survei tersebut, dengan 70.7 peratus responden di bandar dan 29.3 peratus responden di luar bandar.

“87.3 peratus responden 12.7 peratus menyatakan berpuas hati dengan pakej PRIHATIN, manakala hanya 12.7 peratus sahaja yang tidak berpuas hati dengan pakej tersebut.

“70.1 peratus responden pula berpendapat bahawa pakej rangsangan tersebut berkesan kerana dapat mengurangkan beban kewangan dan 9.1 peratus berpendapat ianya berkesan sepenuhnya kerana dapat menghilangkan beban kewangan yang dihadapi ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” demikian menurut hasil kajian tersebut.

Selain itu, hasil kajian tersebut turut menyatakan 68.6 peratus responden di bandar dan 73.6 peratus responden di luar bandar berpendapat paker PRIHATIN yang diumum oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkesan kerana dapat mengurangkan beban kewangan.

Seramai 82.3 peratus turut berpendapat perlanjutan tempoh PKP sehingga 28 April menyebabkan mereka memerlukan bantuan bagi fasa seterusnya manakala 17.7 peratus menyatakan tidak memerlukan pakej tersebut.