KUALA LUMPUR: Sebanyak 95 peratus Ahli Parlimen sudah mendapat dua dos vaksinasi COVID-19 dengan 35 Ahli Parlimen lagi sudah mendapat sekurang-kurangnya satu dos vaksin sebelum Sidang Khas Parlimen bermula 26 Julai ini.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun berkata, semua yang terlibat untuk sesi kali ini juga diwajibkan untuk mengambil ujian saringan yang diadakan pada Rabu dan Jumaat.

"Setakat semalam kakitangan parlimen kebanyakannya, saya rasa 90 peratus sudah divaksinasi dua kali, Ahli Parlimen 95 peratus sudah divaksinasi dua kali dan selebihnya sudah divaksinasi sekali.

"Tinggal lagi empat orang Ahli Parlimen yang belum divaksinasi, mungkin kerana terdapat beberapa sebab-sebab yang tidak membolehkan mereka mendapat vaksinasi," katanya semasa sidang media secara maya pada Jumaat.

BACA: Lima perkara anda perlu tahu tentang Sidang Khas Parlimen bermula 26 Julai ini

BACA: 
Jom pantau wakil rakyat anda di laman mikro Sisi TV Parlimen!

Dalam pada itu katanya, pada sidang khas kali ini dan akan datang, semua Ahli Parlimen dibenarkan hadir ke Dewan Rakyat walaupun tidak divaksinasi.

Namun, mereka yang belum divaksinasi akan dinasihatkan untuk berhati-hati.

Katanya, mereka juga tidak boleh ditahan dari menjalankan tugas di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Namun jelas Azhar, pihaknya juga telah mengadakan peraturan vaksinasi penuh kepada individu lain yang datang ke bangunan Parlimen.

Ia termasuk kontraktor, kakitangan kementerian, pegawai keselamatan dan pegawai pengiring menteri.

Ujarnya, mereka akan diperiksa di pintu masuk dan tidak akan dibenarkan memasuki Parlimen jika belum mendapat vaksinasi.

Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 akan diadakan selama lima hari mulai 26 hingga 29 Julai dan 2 Ogos 2021 bagi Dewan Rakyat.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan sebelum ini berkata, mesyuarat itu akan diadakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang akan ditentukan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Selain itu, Nota Jemaah Menteri juga telah diedar secara berutus kepada Jemaah Menteri untuk mengambil maklum mengenai perkara ini.

Sementara Mesyuarat Khas bagi Dewan Negara adalah selama tiga hari mulai 3 hingga 5 Ogos 2021.

Sebelum ini, Yang di-Pertua Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim berkata, terdapat lebih 20 kes positif COVID-19 yang berlaku di Parlimen ketika ini.

Bagaimanapun jelas Rais, Sidang Khas Dewan Rakyat itu akan tetap berlangsung kerana desakan daripada banyak pihak dan saranan Yang di-Pertuan Agong supaya bersidang dengan segera.