KUANTAN: Sejumlah 934 mangsa banjir daripada 235 keluarga berada di 11 pusat pemindahan sementara (PPS) di dua daerah di negeri ini, sehingga jam 8 pagi pada Selasa.

Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang dalam satu kenyataan berkata, dua daerah yang terlibat ialah Kuantan dan Raub.

"Daripada jumlah tersebut, lapan PPS yang dibuka di daerah Kuantan ialah PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Beserah yang menempatkan 226 mangsa daripada 50 keluarga dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pelindung yang menempatkan 190 mangsa daripada 48 keluarga.

"Selain itu PPS SK Sungai Karang menempatkan 125 mangsa daripada 35 keluarga, SK Sungai Ular menempatkan 41 mangsa daripada 10 keluarga dan PPS SK Pelindung menempatkan sejumlah 66 mangsa daripada 16 keluarga, " katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Ujarnya, SK Cherating pula menempatkan 161 mangsa daripada 39 keluarga, Surau Kampung Chendor menempatkan 48 mangsa daripada 12 keluarga serta Balai Raya Kampung Bukit Kuin 1 menempatkan 10 mangsa daripada 2 keluarga.

"Manakala di Raub pula sejumlah 40 mangsa daripada 13 keluarga ditempatkan di PPS Dewan Kampung Pia, Balai Raya Kampung Ria menempatkan 12 mangsa daripada lima keluarga dan Balai Raya Chenua menempatkan 15 mangsa daripada lima keluarga," katanya.

Sementara itu, menerusi laman sesawang Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Sungai Keratong di Jalan Kota Bahagia, Rompin merekodkan bacaan air sungai melepasi paras bahaya setakat jam 8 pagi, hari ini.

Dua sungai pula melepasi paras amaran iaitu Sungai Tembeling di Kampung Merting, Jerantut dan Sungai Luit di Kampung Subuh, Maran.