KUALA LUMPUR: Mula beroperasi pada 5 Mei 2021, tanggal 14 Ogos 2021 merupakan hari ke 100 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL) beroperasi.

Setakat Sabtu, PPV Mega itu telah memberikan 873,176 dos vaksin kepada rakyat Malaysia dan mereka menjangka angka 1 juta dos penerima vaksin akan dicapai menjelang 29 Ogos nanti.

Pengarah Eksekutif Kumpulan WTCKL, Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim berkata, bermula dengan tidak sampai 2,000 dos sehari dan kini hampir 20,000 dos sehari sekarang, beliau mengakui bangga dengan pencapaian PPV berkenaan.


Vaksin COVID-19 | Penerima vaksin PPV WTCKL cecah 18 ribu sehari

Tambahnya, kehadiran Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia, Charles Hay ke PPV itu baru-baru ini juga menggambarkan keyakinan di peringkat antarabangsa terhadap keupayaan WTCKL dalam pemberian vaksin.

“Kita berjaya menjadi PPV mega yang pertama yang boleh memberikan vaksinasi kepada hampir 20,000 dos dalam sehari.

“Ini menggambarkan keseriusan khususnya pengurusan WTCKL dalam memastikan segala SOP, segala bentuk peraturan dan khususnya dalam penjagaan keselamatan sehinggakan kami bekerjasama dengan pihak Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH).

BACA: Kualiti pengudaraan di PPV WTCKL dalam keadaan baik, selamat

“Ia adalah untuk memastikan kualiti udara sentiasa terjaga mengikut piawaian ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Ini merupakan antara pencapaian khususnya bagi kami yang merupakan antara WTC (Pusat Perdagangan Dunia) di kalangan 320 WTC di seluruh dunia.

“Sudah tentu ini merupakan pencapaian untuk membanggakan Malaysia dan di peringkat antarabangsa,” katanya kepada Astro AWANI pada Ahad.

Tambahnya, melepasi 100 hari beroperasi, Irmohizam berkata pihaknya akan terus berusaha untuk menambah baik segala aspek operasi mereka dari semasa ke semasa.

BACA: PPV Mega WTCKL mula pemberian vaksin AZ dos kedua sumbangan UK

“Kita perlu kerjasama secara kolektif dan bukan sendirian dan kami amalkan konsep mendengar dan cuba menambah baik terutama daripada pandangan netizen dan mereka yang hadir.

“Ini keterbukaan yang cuba ditunjukkan WTCKL dalam memastikan khususnya tahap keselesaan dan segala bentuk perkhidmatan yang terbaik kepada pengunjung yang hadir ke PPV WTCKL,” ujarnya.