Sebanyak 64 daripada 66 jemaah haji Malaysia yang dimasukkan ke wad perubatan Tabung Haji (TH) dan Hospital Kerajaan Arab Saudi telah dibawa ke khemah pesakit di Arafah untuk menunaikan rukun haji yang kedua iaitu berwukuf.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, dua lagi daripada jemaah itu yang masih berada dalam wad Hospital Kerajaan Arab Saudi dan mereka dilaporkan masih belum sedar.

"Kita telah membawa semua jemaah yang sakit dan tempatkan mereka dalam khemas khas perubatan untuk berwukuf kecuali dua daripada jemaah itu," katanya kepada pemberita selepas melawat khemah-khemah pesakit dan warga emas di sini hari ini.

Jemaah yang sakit itu dimasukkan ke wad pusat rawatan TH di Aziziah, Syisyah dan pusat-pusat rawatan di Maktab masing-masing manakala empat pesakit pula dimasukkan ke hospital kerajaan Arab Saudi untuk rawatan lanjut.

Sehingga semalam, sebanyak 66 jemaah haji Malaysia masih berada di wad-wad pusat rawatan Tabung Haji (TH) iaitu di Aziziah, Syisyah dan pusat-pusat rawatan di Maktab masing-masing manakala empat lagi di Hospital Kerajaan Arab Saudi di Makkah untuk rawatan lanjut.

Rukun haji yang kedua mewajibkan seseorang jemaah haji berwukuf di Arafah walaupun untuk seketika untuk berdoa.