KUALA LUMPUR: Sebanyak 63.7 peratus responden menyokong pembiayaan awam untuk parti politik. 


Ringkasan AI
  • Sebahagian besar responden menyokong pembiayaan awam bagi parti politik. Ini menunjukkan permintaan yang kuat dalam kalangan rakyat Malaysia agar kerajaan mempertimbangkan pelaksanaannya.
  • Sistem Pembiayaan Berdasarkan Keputusan Pilihan Raya: Sistem yang dicadangkan adalah memperuntukkan dana kerajaan kepada parti politik berdasarkan peratus kerusi yang dimenangi.
  • Ketelusan dana politik: Responden juga percaya bahawa parti politik perlu lebih telus mengenai sumber dana mereka.


Pengurus Kanan, Advokasi dan Program Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Aira Azhari berkata, ini menunjukkan bahawa adanya permintaan yang kuat dalam kalangan rakyat Malaysia agar kerajaan mempertimbangkan pelaksanaan dasar itu.

"Tahap minat orang ramai terhadap topik (pendanaan politik) ini agak tinggi. Bahkan, menarik untuk saya ceritakan bahawa 63.7 peratus menyokong idea pembiayaan awam untuk parti politik. 

“Ini merupakan satu sistem yang mana kerajaan memperuntukkan sebahagian wang kepada parti politik berdasarkan peratus kerusi yang dimenangi dalam pilihan raya. Ini suatu perkara yang menarik kerana kita tidak pernah ada sistem seperti ini. Sedangkan sistem ini telah dilaksanakan dibanyak negara, termasuk contoh yang paling terkenal iaitu Jerman,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Rabu.



Selain itu, Aira juga memaklumkan 73.9 peratus responden bersetuju bahawa parti politik harus lebih telus mengenai sumber dana mereka.

Tambahnya, pelbagai kes mahkamah yang melibatkan orang politik adalah berkaitan rapat dengan dana politik. Oleh itu, ia memberi justifikasi yang jelas mengenai keperluan kepada akta tersebut.

IDEAS melancarkan kuiz Pantau Dana Politik sejak Disember 2023 dan telah mendapat sambutan yang menggalakkan, dengan 2,770 orang pengguna menjawab keseluruhan kuiz dan 12,259 orang pengguna menyelesaikan sekurang-kurangnya satu halaman, menyumbang kepada sejumlah 107,652 halaman kandungan pendidikan yang diselesaikan.