KUCHING: Kerajaan Persekutuan bersetuju untuk membaik pulih sejumlah 578 kilometer (km) jalan di pedalaman Sarawak di bawah projek Jiwa Murni melalui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga menteri KKDW itu berkata pihaknya menyasarkan kesemua projek tersebut disiapkan sebelum 25 Disember tahun ini iaitu sebelum perayaan Krismas dan musim tengkujuh.

“Kita akan berikan keutamaan kepada jalan-jalan yang tidak lagi dilalui oleh kenderaan berat pembalakan.

"Ini penting untuk dinaik taraf sebagai jalan utama untuk ke kawasan pedalaman dan bagi kawasan-kawasan yang masih aktif dilalui oleh pengangkutan pembalakan ini kita akan berikan sebagai keutamaan kedua.

“Yang penting pelaksanaannya mesti dibuat sebelum tiba waktu Krismas diraikan. Ertinya ia perlu diselesaikan sebelum 25 Disember tahun ini.

"Kita lakukan ini bukan saja soal perayaan tetapi musim tengkujuh yang akan dialami di Sarawak jika kita lakukan selepas daripada itu,” katanya semasa sidang media Mesyuarat Penyelarasan KKDW Bersama Kerajaan Negeri Sarawak Tahun 2023 di Wisma Bapa Malaysia dekat sini pada Selasa.

Turut hadir mesyuarat tersebut, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas merangkap Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan yang memaklumkan kebanyakan projek tersebut membabitkan jalan di kawasan utara wilayah tersebut iaitu di Miri, Limbang serta Belaga.

Dalam pada itu, KKDW menyalurkan lebih RM900 juta peruntukan tahun 2023 kepada Sarawak untuk melaksanakan 38 projek baharu bagi pembinaan pelbagai jenis prasarana serta 203 projek sambungan, menjadikan kos keseluruhan 241 projek mencecah RM13.49 bilion.