KUALA LUMPUR: Lima puluh Ahli Dewan Negara mengambil bahagian dalam perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 (Belanjawan 2023) yang berlangsung tiga hari bermula Rabu lepas di Dewan Negara.

Berdasarkan takwim persidangan Dewan Negara, esok dan Rabu diperuntukkan bagi giliran menteri menjawab berdasarkan perbahasan berkenaan.

Terdahulu, antara perkara yang dibangkitkan pada sesi perbahasan adalah berkait isu kos sara hidup, pemerkasaan orang kurang upaya, percukaian, pendidikan, pelancongan dan gaji minimum siswazah.

Mengenai kebergantungan sektor penanaman sawit terhadap tenaga pekerja asing, Senator Datuk Noraini Idris mencadangkan agar kerajaan melalui Kementerian Perladangan dan Komoditi perlu mula menggalakkan secara meluas penggunaan teknologi dron dan robotik dalam sektor berkenaan.

"Penggunaan teknologi ini telah digunakan secara meluas di negara lain. Teknologi dron ini mempunyai pelbagai fungsi seperti dron pemetaan kawasan, penuaian buah, penyemburan baja dan pengangkut buah kelapa sawit ke kilang," katanya pada sidang Dewan Negara hari ini.

Sementara itu, Senator Noorita Sual berkata Sabah berdepan dengan isu sisa pepejal atau sampah yang tidak diuruskan dengan baik dan keadaan tersebut semakin membimbangkan sekali gus boleh menyebabkan pelancong tawar hati untuk bercuti ke negeri itu.

"Sabah tidak dinafikan negeri yang dianugerahkan dengan alam semula jadi yang kaya dengan unsur kebudayaan dan faktor ini menjadikan Sabah antara destinasi pelancongan di Asia.

"Tetapi, kalau kita menaiki bot ke Pulau Tunku Abdul Rahman banyak sampah terapung di permukaan laut. Macam Kundasang, di Ranau kita pergi untuk menikmati pemandangan dan cuaca sejuk, namun kebersihan masih banyak yang perlu ditambah baik, begitu juga di pedalaman Keningau dan Tenom dari sudut pengurusan sampah kurang sistematik dan tidak teratur," katanya.

Justeru, beliau berharap Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan bersama Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah serta Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim dapat bekerjasama menambah baik pengurusan sisa pepejal serta pembersihan awam khasnya di kawasan pinggir bandar dan luar bandar Sabah.

Senator Datuk Bobbey Ah Fang Suan pula mencadangkan agar kerajaan menaik taraf kolej vokasional sedia ada terutamanya di bahagian pantai barat Kudat, Sandakan dan Tawau termasuk Wilayah Persekutuan Labuan, bagi menawarkan program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) untuk pelajar pendidikan khas.

"Populasi penduduk Sabah ketika ini dianggarkan sekitar 3.4 juta, namun cuma ada sebuah kolej vokasional diwujudkan di bahagian pedalaman yang menawarkan TVET untuk pendidikan khas.

"Justeru, saya cadangkan kepada kerajaan terutamanya Kementerian Pendidikan tidak perlulah dirikan kolej baharu untuk tujuan ini sebaliknya naik taraf kolej vokasional sedia ada dan tawarkan lebih banyak program TVET untuk pelajar pendidikan khas," katanya.

Persidangan Dewan Negara bersambung esok.

-- BERNAMA